Keputusan 'serampang dua mata' KPM ini dialu-alukan - NUTP


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) kerajaan melanjutkan khidmat 2,683 guru kontrak perkhidmatan (COS) pengambilan 2020 yang bakal tamat Jun ini dilihat sebagai strategi penyelesaian bersifat serampang dua mata.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata selain mengelak sekolah berdepan masalah kekurangan guru dan peningkatan beban digalas tenaga pengajar, ia juga membantu guru CoS terbabit untuk terus berkhidmat dan membuat persiapan memenuhi syarat bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41.

"NUTP mengalu-alukan usaha berterusan KPM ke arah memastikan bilangan guru mencukupi di negara kita.

"Apa lebih penting, sekolah tidak akan kehilangan sumber tenaga seramai 2,683 orang ini, yang sekiranya berlaku bakal mengundang pelbagai masalah kepada sekolah kerana ketidakcukupan guru.

"Peningkatan beban tugas guru akan berlaku bagi sekolah yang menerima perkhidmatan guru COS ini kerana, tugas ditinggalkan mereka terpaksa ditanggung oleh guru tetap," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas pelanjutan kontrak 2,683 guru COS pengambilan 2020 yang akan tamat 9 Jun ini, selepas pelantikan semula itu dimaklumkan kepada KPM oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Jumaat lalu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, guru COS akan mendapat khabar gembira kerana kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun selepas pihaknya mengadakan perbincangan de ngan SPP.

Selain itu, beliau memaklumkan keputusan guru COS bagi pengambilan PPP DG41 secara one-off bagi 2021 sudah diumumkan dan calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap proses pelantikan se. cara tetap guru COS ke gred DG41 dapat dilaksanakan pihak SPP secepat mungkin.

"Ini penting untuk diberi perhatian, malah guru ini juga sudah ada banyak pengalaman," katanya.

 

Previous Post Next Post