Mahkamah putuskan sekolah Cina, Tamil berperlembagaan



Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam menolak saman yang dikemukakan Ikatan Guru-Guru Muslimin Malaysia (I-Guru) yang mahu mengisytiharkan sekolah Cina dan Tamil yang disebut sebagai sekolah vernakular adalah tidak berperlembagaan di Malaysia. 

Peguam T Gunaseelan, yang mewakili tiga daripada lapan defendan dalam kes tersebut, berkata hakim menyebut mengenai konteks sejarah di sebalik Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dalam memutuskan bahawa sekolah vernakular adalah mengikut perlembagaan.

“Pada asasnya, cabarannya ialah Perkara 152 (perihal bahasa kebangsaan) menjadikan peruntukan tertentu Akta Pendidikan tidak berperlembagaan.

“Hujah mereka (plaintif) ialah sekolah vernakular tidak berperlembagaan kerana sekolah vernakular adalah pihak berkuasa awam dan oleh itu hanya perlu menggunakan bahasa kebangsaan. 

“Hakim Mahkamah Tinggi hari ini (semalam) berkata sekolah vernakular adalah pihak berkuasa awam. Namun begitu, beliau berkata ia adalah mengikut perlembagaan kerana, melihat kepada sejarah di sebalik Perkara 152, ia menjamin penggunaan bahasa ibunda,” kata Gunaseelan kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata mereka juga telah dimaklumkan bahawa plaintif iaitu presiden I-Guru Mohd Azizee Hasan, bercadang untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan itu. Mohd Azizee Hasan pada mulanya hanya menamakan Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia dalam saman itu, tetapi lima pihak lain telah campur tangan, menjadikan jumlah keseluruhan defendan kepada lapan.

Gunaseelan mewakili defendan Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia dan Gabungan Persatuan Pelajar Tamil Malaysia. 

Jelasnya, kes di Kota Baru ini hampir sama dengan kes lain yang pernah difailkan di Kuala Lumpur tetapi saman itu dikemuakan oleh pihak berbeza.

Sama seperti kes semalam, saman berkenaan telah ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas. Kes itu kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak satu lagi kes yang mengatakan bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam, dan juga mengatakan bahawa walaupun anda mentafsir Perkara 152 menggunakan perspektif sejarah, sekolah vernakular telah wujud lama sebelum Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya mengiktiraf sekolah vernakular dan menjamin penggunaan bahasa ibunda,” katanya.

 

Previous Post Next Post