UPSR, PT3: Menilai murid bukan hanya menerusi peperiksaan


KEBELAKANGAN ini terdapat pandangan daripada ibu bapa yang inginkan sistem peperiksaan untuk Tahun Enam dan Tingkatan Tiga dikembalikan susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu.

Malah sebelum ini peperiksaan untuk murid Tahap Satu (iaitu merangkumi Tahun Satu, Dua dan Tiga) juga dimansuhkan.

Antara hujah yang dikemukakan oleh ibu bapa adalah tidak tahu secara tepat pencapaian pembelajaran anak selain kurang memahami bagaimana proses pentaksiran dilakukan oleh guru.

Sememangnya hal ini sangat difahami. Disebabkan kesemua ibu bapa hari ini lahir daripada sistem peperiksaan, kaedah pentaksiran yang dilakukan kini dilihat 'longgar' dalam menilai prestasi anak.

Terlebih dahulu kita perlu memahami konsep pentaksiran iaitu adalah kaedah untuk mengetahui atau menguji tahap keupayaan atau penguasaan murid dalam pengajiannya.

Pentaksiran adalah sangat penting dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Ia adalah nadi dalam pengajaran dan pembelajaran yang baik. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kalangan pendidik untuk memastikan pelajar ditaksir dengan baik dan markah diberikan sesuai dengan prestasi mereka.

Sebelum ini guru menilai prestasi murid dengan kaedah pentaksiran seperti peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan pertengahan tahun di dalam pengajaran mereka. Namun apabila kaedah ini ditiadakan, bukanlah bermakna prestasi pembelajaran murid tidak boleh diukur. Sebaliknya ia masih boleh dibuat dengan adil dan saksama malah lebih baik dengan pelbagai strategi pentaksiran yang lain.

Jadi, jika bukan kaedah peperiksaan, bagaimana guru mentaksir murid? Sebenarnya guru mempunyai banyak teknik pentaksiran. Ia boleh disesuaikan dengan peringkat persekolahan murid supaya mereka akan merasa lebih seronok dengan pembelajaran dan seterusnya kemahiran diri dapat ditingkatkan.

1. Teknik bercerita

Biasanya guru menggunakan teknik ini untuk menilai murid Tahap Satu. Teknik ini umumnya dibuat dengan guru membacakan kisah dongeng daripada sebuah buku kepada murid-murid. Guru akan bertindak sebagai fasilitator dan akan menentukan jalan cerita serta pengakhiran cerita. Guru juga boleh memasukkan sedikit elemen drama ke dalam penceritaan dengan meminta murid melakonkan watak di dalam cerita berkenaan. Guru yang kreatif mungkin akan memasukkan elemen muzik atau menambah alat bantuan mengajar yang lain.

Kaedah pentaksiran boleh dibuat antaranya memecahkan 100 markah itu kepada beberapa bahagian. Misalnya dengan mengambil kira bagaimana murid membuat tugasan itu, apakah cerita yang disampaikan, lontaran suara, aspek lakonan, tempoh persembahan, hubungan dengan penonton, kesesuaian dan mungkin juga prop.

Untuk setiap bahagian itu guru boleh membina tahap pemarkahan yang sesuai dengan kriteria yang ditetapkan. Setiap bahagian itu mungkin membawa markah 20 peratus daripada keseluruhan markah. Pecahkan kepada empat peringkat iaitu, hanya satu markah akan diberi kepada murid tahap awal iaitu mereka yang tidak tahu bercerita dan hanya membaca dari nota sahaja. Tahap sederhana (dua markah) untuk murid yang tahu sebahagian cerita, mengguna nota tetapi kurang yakin dalam penceritaan. Tahap berjaya (tiga markah) akan diberikan kepada murid yang boleh bercerita dengan agak baik, menggunakan hanya sedikit nota dan agak yakin dalam penceritaan. Tahap menjadi contoh (empat markah) pula melihat kepada murid yang tahu bercerita dengan baik, tidak menggunakan nota dan bercerita dengan penuh keyakinan. Empat tahap ini boleh dibina sendiri oleh guru sesuai dengan setiap kriteria yang telah dinyatakan.

2. Memberikan projek mudah
Satu lagi kaedah mentaksir murid boleh dibuat melalui projek mudah. Kaedah ini dapat memberi peluang mematangkan dan mendidik mereka untuk bekerjasama dengan rakan-rakan sebaya. Pembelajaran berasaskan projek ini boleh membabitkan hal mengenalpasti masalah dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah.

Misalnya, jika guru hendak melaksanakan pengajaran berasaskan projek untuk Sains Tahun Tiga untuk tajuk 'Cara Tumbuhan Membiak'. Guru boleh menuruti lima langkah iaitu i) menentukan tajuk; ii) merancang pelaksanaan projek; iii) membina jadual prosedur projek; iv) membimbing murid; dan v) mentaksir dan membuat renungan semula. Pemarkahan boleh disediakan berdasar kriteria seperti susun atur projek, kandungan projek, bahan kitar semula yang digunakan, kreativiti projek dan persembahan akhir murid.

Sebenarnya kaedah penilaian murid ini boleh saja dipelbagaikan dengan cara lain termasuk soal jawab (lisan), pemerhatian, bertulis, pentaksiran kendiri serta rakan sebaya.

Semua kaedah itu mampu menggantikan peperiksaan akhir sekiranya guru mahu meningkatkan pelbagai kemahiran murid. Pentaksiran prestasi, portfolio serta penulisan jurnal juga sesuai digunakan. Ini semua dinamakan sebagai pentaksiran alternatif.

Jika menggunakan pentaksiran secara pemerhatian, misalnya, guru mampu mentaksir satu proses atau situasi, sebelum kemudiannya mendokumentasikan apa yang dilihat atau didengar itu. Kaedah ini mampu digunakan dalam menilai hasil kerja murid seperti penghasilan lukisan, buku skrap, kraf tangan dan sebagainya.

Proses ini memberi peluang untuk guru mengesan aspek sikap dan perlakuan murid, kerja amali mereka dan pelbagai kemahiran lain seperti belajar, kinestetik, sosial atau kemahiran mereka cipta.

Malah kaedah itu juga membolehkan murid diberi peluang untuk membuat penambahbaikan setelah memberikan maklum balas atau komen yang konstruktif daripada guru.

Maklum balas yang berlaku di antara guru dan murid adalah satu medium utama untuk mempromosi pembelajaran bermakna (deep learning) dan juga meningkat kemahiran berfikir murid.

Sebenarnya, sudah banyak kajian yang dibuat membuktikan kejayaan pentaksiran alternatif dalam meningkatkan pencapaian murid, asal saja kita mahu melihatnya sebagai jambatan di antara pengajaran dan pembelajaran serta mahu melaksanakannya secara efektif.

Dr Nor Hasnida Che Md Ghazali 
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Previous Post Next Post