Motosikal bertembung: Murid Tingkatan 1 maut, seorang cedera parah

Kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 13 dan 14 tahun. - Foto ihsan pembaca


Kepala Batas: Seorang murid Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Lahar Kepar di sini, tengah malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata polis menerima maklumat kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam sebelum ke lokasi bagi melakukan siasatan. 

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan dua motosikal yang ditunggangi murid masing-masing berusia 13 dan 14 tahun. 

"Insiden berlaku apabila motosikal SYM ditunggang murid berusia 13 tahun datang dari arah Penaga menghala Kepala Batas dan ketika tiba di lokasi kejadian, cuba memotong sebuah kereta di hadapannya lalu memasuki laluan bertentangan. 

"Pada masa sama, sebuah motosikal ditunggang murid berusia 14 tahun datang dari arah bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan. 

"Ekoran impak kemalangan itu, murid berusia 13 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala murid berusia 14 tahun cedera parah di kaki serta badan," katanya dalam kenyataan, semalam. 

Mohd Radzi berkata, kedua-dua motosikal yang ditunggangi murid berkenaan adalah milik bapa mereka.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Di Nilai, seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Persiaran Utama, di sini, maut selepas merempuh sebuah kereta, jam 7.30 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Ghani, berkata ketika kejadian kereta dipandu seorang wanita dalam perjalanan dari Persiaran Perdana, menghala ke Stesen KTM Nilai. 

"Nahas membabitkan kereta dipandu wanita berusia 57 tahun bersama seorang penumpang wanita dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa, Mohd Eddie Azhar Abdullah, 43 tahun. 

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta menghala ke KTM Nilai sedang bergerak terus ketika lampu isyarat di laluan berwarna hijau. 

"Sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba motosikal yang ditung. gang mangsa dari arah kanan melanggar kereta berkenaan," katanya semalam. 

Mohd Fazley berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu dan penumpang kereta itu tidak cedera.

 

Previous Post Next Post