Lelaki dipercayai terbabit culik seorang murid sekolah ditahan polis

Gambar lelaki yang dikatakan terbabit dalam cubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki tular di media sosial hari ini. - Foto ihsan orang ramai


PASIR GUDANG: Penduduk di sini gempar dengan kejadian dipercayai cubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki sebuah sekolah agama di kawasan berkenaan selepas rakaman video dan gambar kejadian itu tular di laman sosial Facebook (FB). 

Dalam video dan gambar itu, seorang lelaki memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih dan berseluar panjang dilihat berjalan laju sambil mendukung kanak-kanak terbabit di Taman Kota Masai di 

Kejadian dipercayai berlaku pagi tadi di tepi jalan raya berhampiran sebuah restoran makanan segera. 

Bagaimanapun, orang ramai yang menyaksikan perbuatan lelaki itu menghalangnya sebelum memerangkap suspek serta menghubungi polis bagi tindakan lanjut. 

Difahamkan mangsa kejadian iaitu seorang kanak-kanak Sekolah Agama Taman Scientex dan dalam video yang dimuat naik, kedengaran suara mangsa menangis. 

Apabila lelaki berkenaan dihampiri orang ramai, dia mendakwa kanak-kanak itu adalah anak yatim sebelum salah seorang pengguna jalan raya memintanya ke balai polis. 

Bagaimanapun, lelaki itu tidak mempedulikan permintaan berkenaan hingga perbuatannya menimbulkan keraguan ramai. 

Lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada polis. 

Seorang lelaki yang mendakwa menyelamatkan mangsa berkongsi pengalamannya di FB hingga ia menarik perhatian ramai. 

Dalam perkongsian berkenaan, seorang netizen juga mendakwa mengenali lelaki yang melakukan perbuatan berkenaan dan memaklumkan lelaki itu berdepan krisis rumah tangga, pernah terbabit dalam penagihan dadah serta memiliki masalah psikiatri. 

Sementara itu, polis ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berkaitan kejadian.

 

Previous Post Next Post