2,400 pengambilan guru 'one-off' diisi guru kontrak perkhidmatan - Radzi Jidin


KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,400 daripada 18,702 pengambilan guru secara one-off atau sekali pengambilan akan diisi oleh guru kontrak perkhidmatan (COS) yang bakal tamat kontrak Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kepada calon yang berjaya dalam pengisian jawatan berkenaan akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum hujung bulan ini. 

"Kementerian Pendidikan (KPM) baru mendapat maklumat terkini daripada SPP berkaitan pengisian ini. Insya-ALLAH tawaran kepada calon yang berjaya akan dibuat SPP sebelum 31 Mei 2022," katanya menerusi hantaran video di akaun Facebook rasminya pada Rabu. 

Mengenai status terkini pengambilan guru secara one-off itu, Radzi berkata, sehingga kini (11 Mei), KPM telah menempatkan seramai 13,770 guru di sekolah seluruh negara.

"Tahniah kepada yang berjaya dan buatlah yang terbaik dalam mendidik anak murid di sekolah kalian," katanya.

Sementara itu, baki lebih 2,500 perjawatan itu, beliau berkata, ia akan diisi oleh guru yang mengajar mata pelajaran yang sukar mendapat bekalan guru daripada pasaran termasuk Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni Visual serta mata pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. 

Sebelum ini, dilaporkan KPM bersama SPP dalam proses mengambil tindakan wajar berhubung isu membabitkan COS yang bakal tamat kontrak Jun ini. - Bernama

Post a Comment

0 Comments