ASWA gesa kerajaan wujudkan Akta Anti Buli

Imej hiasan

PUTRAJAYA: Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) menggesa kerajaan mewujudkan satu akta khusus bagi menangani kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan, berkata sudah tiba masa negara ini mewujudkan Akta Anti Buli berikutan gejala itu dilihat semakin membimbangkan.

Katanya, sejak sesi persekolahan dibuka pada Mac lalu, kes buli membabitkan pelajar sudah mencatatkan lebih 20 kes.

"Akta sedia ada dilihat tidak cukup bagi menangani kes buli di negara ini, jadi kita mahukan satu akta khusus untuk menangani kes seumpama ini. Kita tidak mahu ia terjadi pada masa akan datang.

"Berikutan itu, pihak ASWA akan menghantar memorandum kepada tiga kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Wan Azliana bersama beberapa tiga keluarga mangsa buli mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) bagi mendapatkan sokongan untuk mewujudkan Akta Anti Buli di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed menegaskan sehingga kini belum ada jalan penyelesaian untuk masalah sosial.

Beliau berkata, perkara itu membimbangkan ibu bapa kini kerana walaupun banyak kes sudah dilaporkan dan diambil pelbagai tindakan, isu berkenaan terus berulang.

Wan Azliana berkata, setakat ini rakyat di negara ini hanya memandang sepi kes buli dan menganggap ia adalah kes peribadi yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

"Ada mangsa buli ini terpaksa dipindahkan ke sekolah lain kerana takut kes buli itu berulang, manakala pembuli pula hanya dikenakan tindakan gantung sekolah selama 14 hari dan kemudian bersekolah seperti biasa.

"Mangsa buli ini apabila nak bercakap mereka tidak diberi ruang. Apabila kes dimaklumkan kepada pihak atasan, mangsa buli terpaksa menghadap pelbagai karenah birokrasi," katanya.

 

Previous Post Next Post