9 murid ditahan cabul rakan sekolah


SUNGAI PETANI: Berpunca daripada isu berebut teman lelaki, seorang remaja perempuan menjadi mangsa amang seksual, malah kejadian ketika mangsa dicabul di sebuah kawasan perumahan sekitar bandar ini April lalu, dikatakan turut dirakam .

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 13 tahun dan juga murid tingkatan satu sebuah sekolah menengah itu membuat laporan polis pada Jumaat lalu berhubung kejadian terbabit kerana bimbang rakaman video berkenaan tersebar, selain tidak berpuas hati dengan perbuatan jijik dilakukan terhadapnya.

Susulan laporan itu, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun dalam beberapa serbuan di rumah masing-masing.

Sumber berkata, dalam laporannya mangsa mendakwa kejadian berlaku pada jam 5 petang ketika dia berada di rumah seorang rakan lelaki di sebuah kawasan perumahan.

"Mangsa sebelum itu diajak seorang rakan perempuan ke rumah terbabit kononnya untuk berbincang mengenai masalah antara mereka berdua yang mempunyai isu percintaan dengan seorang remaja lelaki.

"Namun, mangsa mendakwa dia ditolak rakan perempuan hingga terjatuh ke lantai dan sembilan remaja lelaki yang berada dalam rumah itu kemudian terus mengangkatnya dan membawa ke bilik," katanya.

Sumber berkata, ketika berada dalam bilik, seorang daripada remaja lelaki terbabit mengambil kesempatan meraba dada serta kemaluan mangsa.

"Seorang lagi remaja lelaki dikatakan mengambil rakaman video perbuatan cabul dilakukan rakannya terhadap mangsa ketika itu.

"Hasil siasatan lanjut mendapati tujuh remaja lelaki yang lain hanya mengangkat pelajar perempuan itu ke bilik dan menonton aksi rakan mereka terhadap mangsa," katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengenali semua suspek kerana mereka belajar di sekolah sama.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dikatakan diguna ketika merakam video mangsa yang ketika itu dicabul.

"Seorang daripada suspek mengaku merakam kejadian itu, namun dia mendakwa sudah memadam video berkenaan selain memberitahu telefon bimbitnya turut rosak," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam telefon bimbit berkenaan juga tidak menemui sebarang video aksi cabul seperti didakwa.

"Mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan" katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan dan tangkapan terhadap semua suspek terbabit.

"Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian itu sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

 

Previous Post Next Post