Calon tidak duduki SPM hanya 10,681, bukan 24,941 - LPM

KUALA LUMPUR - Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu walaupun sudah berdaftar adalah hanya seramai 10,681 orang, bukan hampir 25,000 seperti dimaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut Lembaga Peperiksaan menerusi kenyataan, seramai 9,037 atau 2.30 peratus daripada calon tidak hadir itu terdiri daripada calon sekolah di bawah KPM, sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat.

Katanya, manakala 1,644 atau 0.42 peratus adalah calon persendirian.

“Lembaga Peperiksaan berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar berkenaan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021,” menurut kenyataan itu malam tadi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2021 semalam berkata, terdapat 24,941 calon peperiksaan itu tidak mendudukinya daripada 407,097 calon berdaftar.

Jesteru, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM akan menjalankan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sejumlah 24,941 calon berdaftar itu tidak menduduki SPM.

Malah, beliau berkata, majoriti calon yang tidak menduduki peperiksaan itu adalah calon persendirian.

“Kita (KPM) sedang menganalisis data dan akan meneliti trend tahun-tahun sebelum ini. Jika ada peningkatan, kita akan ambil pendekatan untuk elak berulang di masa akan datang.

“Punca perlu dikenal pasti memandangkan kohort SPM 2021 adalah paling terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) di sini sempena pengumuman keputusan SPM semalam.

Selain itu, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, bagi tujuan analisis keputusan SPM 2021, hanya 392,837 daripada 407,097 calon berdaftar diambil kira.

Jelasnya, 392,837 calon itu adalah mereka yang mendaftar kali pertama dengan sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 382,156 atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian hadir menduduki peperiksaan. - Getaran, 17 Jun 2022

Previous Post Next Post