Jangan benar ahli politik bawa lambang, ideologi masuk kawasan sekolah - CUEPACS

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa mana-mana ahli politik yang berhasrat memasuki kawasan sekolah untuk tidak membawa ideologi atau melakukan kempen politik untuk kepentingan diri.

Presidennya Adnan Mat berkata, ahli politik juga perlu dilarang daripada memakai baju parti atau sebarang lambang parti yang menunjukkan mereka mewakili parti tertentu sebagai prasyarat sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan suasana sekolah kekal harmoni dan tidak dirosakkan dengan budaya kempen politik, sebaliknya mereka dibenarkan masuk bagi tujuan memberi bantuan pembangunan dan pendidikan sahaja.

“Perlu ada prasyarat, maksudnya tidak membawa ideologi politik mereka ke sekolah dan pada masa sama tidak memakai lambang-lambang atau baju-baju korporat politik tak dibawa masuk ke kawasan sekolah. Sebaliknya mereka hendaklah dikenali sebagai pemimpin masyarakat yang datang untuk bantu pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memajukan sekolah sama ada dari segi prasarana atau pendidikan.

“Orang politik yang ingin memasuki sekolah perlu ikhlas membantu membangunkan sistem pendidikan, bukannya dengan niat lain atau ada udang di sebalik batu,” katanya kepada FMT.

Katanya, guru besar, pengetua dan pihak pengurusan sekolah juga perlu berlaku adil kepada semua ahli politik yang ingin masuk ke sekolah bagi memberi bantuan, bukannya hanya memilih parti tertentu sahaja mengikut citarasa parti yang sama ideologi dengan mereka.

“Kita hendaklah meletakkan kepentingan pendidikan, supaya sekolah tidak dilihat sebagai alat politik untuk tujuan tertentu. Orang politik yang ingin masuk ke sekolah biarlah dalam kalangan orang tempatan, bukannya orang luar dari kawasan sekolah terbabit kerana mereka lebih memahami masalah sekolah,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Mohamad Alamin berkata, ahli politik yang berhasrat memasuki kawasan sekolah bagi tujuan pembangunan dan pendidikan dibenarkan berbuat demikian.

Katanya, ahli politik berkenaan boleh berbuat demikian selepas memaklumkan kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu untuk keperluan rekod Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Previous Post Next Post