Fokus ikuti PdPR formula cemerlang SPM

Amal Suraya Abdul Aziz, 18, (dua dari kanan) berkongsi kegembiraan bersama ayah, Abdul Aziz Hamzah, 47, (kanan) dan ibu, Yazmin Khatab, 47, (kiri) serta neneknya, Hasnah Sahib, 78, (dua dari kiri) setelah mendapat keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM di SMK King George V. FOTO AZRUL EDHAM

Seremban: "Saya tidak sangka memperoleh pencapaian cemerlang ini kerana pada peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) percubaan hanya memperoleh 7A," kata Amal Suraya Abdul Aziz, 18.

Amal Suraya yang berasal dari Taman Dato Wan Ampangan di sini, menerima keputusan cemerlang dengan memperoleh 11A dalam peperiksaan SPM 2021.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) itu berkata, dia tidak memiliki sebarang resipi dalam pembelajaran untuk mendapatkan keputusan cemerlang itu melainkan fokus ketika guru mengajar.

"Seperti yang sedia maklum, pembelajaran sejak awal 2020 dijalankan secara dalam talian melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pandemik Covid-19.

"Saya sentiasa fokus mengikuti sesi PdPR dan akan terus merujuk kepada guru jika kurang memahami sesuatu subjek," katanya kepada Harian Metro.

Dia ditemui selepas menerima slip keputusan SPM 2021 daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Datuk Md Fiah Md Jamin di SMKGV di sini, hari ini.

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini juga mengakui sokongan ibu Yazmin Khatab, 47, dan bapa Abdul Aziz Hamzah, 47, antara faktor penyumbang kepada pencapaiannya itu.

Sementara itu, Yazmin berkata, kejayaan anaknya itu adalah hasil kerja kerasnya selepas berdepan pelbagai cabaran belajar secara dalam talian.

Previous Post Next Post