SPM 2021: 512 calon dapat semua A semua mata pelajaran di Negeri Sembilan

MD. Fiah Md Jamin (duduk tengah) menunjukkan laporan keputusan SPM Negeri Sembilan dalam sidang akhbar di Seremban hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN: Seramai 512 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Negeri Sembilan memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, kesemua mereka dari 62 buah sekolah dengan tiga buah sekolah mencatatkan pencapaian semua A melebihi 30 peratus.

Sekolah terbabit ialah Kolej Tunku Kushiah, Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir.

“Seramai 10 orang calon daripada tujuh buah sekolah kerajaan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat ‘A’ dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Keputusan SPM Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Fiah berkata, jurang prestasi sekolah antara bandar dan luar bandar mengikut nilai Gred Purata Nasional (GPN) tidak menunjukkan perbezaan yang ketara.

Jelas beliau, tahun lalu GPN bandar mencatatkan 4.58 berbanding luar bandar 4.81 manakala tahun sebelumnya mencatatkan 4.47 (bandar) berbanding 4.56 di luar bandar dengan jurang perbezaan menunjukkan peningkatan -0.14. – UTUSAN

Previous Post Next Post