SPM 2021: Perak catat 17 calon semua A+ semua mata pelajaran

IPOH - Seramai 787 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Perak memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Rahimah Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 17 calon telah memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

Menurutnya, sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan, 10, 11 dan 12 mata pelajaran.

"Gred Purata Negeri (GPN) yang dicatatkan bagi SPM 2021 adalah 4.96.

"Data turut merekodkan nilai GPN bagi calon di bandar adalah 4.95 manakala luar bandar 5.01 dengan jurang 0.06," katanya kepada pemberita sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda telah mengakibatkan seramai 1,998 calon terpaksa menjalani peperiksaan SPM sesi kedua yang dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei lepas.

Menurutnya, kesemua mereka dijadualkan semula pentaksiran dan peperiksaan disebabkan pada tarikh ditetapkan telah disahkan positif Covid-19 selain terkesan dengan banjir.

"Di Perak terdapat 102 calon berkeperluan khas menduduki SPM 2021 dan daripada jumlah itu, dua calon telah berjaya memperoleh keputusan semua A.

Previous Post Next Post