Lebih 202 calon guru dari Sarawak kecewa


KUCHING: Seramai lebih 202 calon guru dari Sarawak menyuarakan kekecewaan apabila gagal dalam pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41, Perkhidmatan Kontrak (COS).

Justeru, jurucakap mereka, Henry Sait Voniface Sudok berharap agar kerajaan khasnya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengambil segera mereka yang telah melalui semua prosedur pengambilan guru COS 2021 itu bagi mengisi kekurangan guru di Bumi Kenyalang bagi tahun ini, sebagaimana dasar 90:10 guru tempatan yang diinginkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Bagi anak Sarawak yang gagal dalam pengambilan PPP DG41 COS untuk penempatan, mereka gagal bukan kerana tidak layak tapi kerana kuota yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) adalah terhad,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menjelas lanjut, Henry, 28, yang berasal dari Betong berkata keputusan pengambilan PPP DG41 COS yang keluar pada 28 Mei lalu, menyaksikan ramai calon dari Sarawak gagal bukan kerana tidak kompeten tetapi bilangan kuota terhad.

“Calon-calon anak kelahiran Sarawak berasa kecewa kerana setelah menunggu enam bulan, jawapan gagal sedangkan keputusan boleh keluar dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas selesai temuduga,” katanya.

Susulan itu, katanya mereka telah menghantar surat rasmi permohonan kuota khas anak Sarawak kepada Pengarah Pendidikan Sarawak termasuk Menteri Pendidikan Sarawak dan Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak, memandangkan masih terdapat kekurangan guru di Sarawak, seperti mana hantaran dalam Facebook Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 27 Mei 2022.

Henry menambah surat yang dihantar oleh wakil Kumpulan Anak Sarawak COS itu mengandungi 202 nama calon dan intipati bahawa mereka layak dilantik segera, seawal 13 Jun 2022 kerana telah melalui semua prosedur pengambilan guru termasuk lengkap dan telah menerima dos penggalak vaksinasi Covid-19.

Bahkan, katanya calon juga sudah bersedia sejak berakhir temuduga pada November 2021.

“Malah ramai yang mendapat komen positif daripada panel semasa temuduga, panel nampak potensi dan jiwa yang ada dalam diri calon sebagai bakal pendidik Bumi Kenyalang.

“Selain itu ramai calon yang mempunyai banyak pengalaman sebagai guru di institusi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Henry berkata rasional pengambilan anak Sarawak sebagai pendidik di negeri berkenaan akan dapat mengurangkan masalah yang sering ditimbulkan oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dari Semenanjung Malaysia yang mendapat penempatan di Sarawak.

Katanya antara masalah yang sering berlaku melibatkan penempatan guru dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak adalah seperti enggan melapor diri, enggan mengajar di kawasan luar bandar, kampung dan pedalaman, berkhidmat dalam masa yang singkat kemudian berhenti atau melarikan diri serta berkhidmat kurang setahun tetapi sudah mengisi permohonan pindah EGTUKAR ke negeri asal - Suara Sawarak

 

Previous Post Next Post