Murid tahun satu maut kemalangan ke sekolah

Kanak-kanak tersebut telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

MELAKA – Seorang murid perempuan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Cheng di sini maut ketika dalam perjalanan ke sekolah itu di Jalan Krubong, Tampoi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim, 7, yang lengkap berpakaian sekolah maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mangsa telah hilang kawalan dan terbabas.

“Nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah bersama-sama nenek berusia 58 tahun, manakala kereta dipandu bapa saudaranya berusia 29 tahun.

“Setiba di lokasi, kereta dinaiki mereka yang dari arah Krubong ke Cheng telah terbabas sehingga berpusing masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah lori dari arah belakang,” katanya.

Kereta yang dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi, pada Khamis.

Ujarnya, akibat kemalangan itu, kanak-kanak tersebut telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala neneknya patah tangan kanan.

Tambahnya, bapa saudaranya mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, semakan menerusi rakaman kamera pemuka kereta diperolehi mendapati kemalangan berlaku ketika cuaca hujan lebat dan keadaan jalan berselekoh.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan permukaan jalan licin. Rempuhan di bahagian belakang juga telah mengakibatkan kanak-kanak berkenaan tersepit sebelum dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Previous Post Next Post