Pengawal keselamatan didakwa lakukan amang seksual di surau sekolah

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun di surau sekolah agama. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pasir Mas: Pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun di surau sekolah agama di Tanah Merah, Mei lalu.

Tertuduh, Ab Rashid Abdullah, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah surau sekolah agama antara jam 11 malam hingga 2 pagi pada 19 hingga 20 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK), Rifzan Rusli.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

 

Previous Post Next Post