SPM 2021: 57 calon peroleh semua A+ di Selangor

Pelajar-pelajar SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya bergambar kenangan selepas menerima keputusan cemerlang dalam SPM 2021, di sini hari ini. FOTO: SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Seramai 1,803 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Selangor memperoleh keputusan cemerlang A+,A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Rohayati Abd. Hamed berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 57 orang memperolehi A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, seramai 55,626 calon bersamaan 85.6 peratus calon layak mendapat sijil SPM 2021 daipada keseluruhan calon yang mendaftar.

Katanya, Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri Selangor dalam peperiksaan SPM 2021 pula mencatatkan 4.87 sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 4.90 pada tahun 2020.

“Keputusan SPM tahun ini menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan penurunan GPN sebanyak 0.03 mata.

“Pada keseluruhannya, seramai 34,944 calon telah lulus semua mata pelajaran dan 14,152 orang mendapat gred cemerlang hingga kepujian (A+ hingga C),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 17 mata pelajaran berjaya mencatatkan 100 peratus lulus, 27 mata pelajaran meningkat, 29 mata pelajaran menurun dan satu mata pelajaran kekal.

“Empat daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.

“Bagi pencapaian mata pelajaran sains tulen pula mencatatkan sedikit penurunan antaranya Fizik sebanyak -0.38 peratus, Fizik (-0.12 peratus), Kimia (-0.96 peratus) dan Matematik Tambahan (-3.68 peratus)

Terdahulu, peperiksaan bertulis SPM 2021 yang dijalankan pada 2 hingga 29 Mac lalu merekodkan kehadiran seramai 66,763 calon di sekolah kerajaan, 2,762 calon (swasta) dan 4,523 (calon persendirian) bagi negeri Selangor. – KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post