SPM 2021: Seorang calon dapat semua A+ di Pahang

Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman (depan, kanan) menyampaikan keputusan SPM kepada pelajar cemerlang SMK Abdul Rahman Talib di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pahang mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.74 peratus melebihi Gred Purata Kebangsaan (GPK) iaitu sebanyak 4.86 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, pencapaian terbabit dianggap sebagai sesuatu yang membanggakan dalam berhadapan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19.

“Sebanyak 10 buah sekolah mencatatkan pencapain terbaik di negeri ini di mana tiga darinya merupakan sekolah harian iaitu SMK Abdul Rahman Talib Kuantan, SMK Jengka Pusat, Maran dan SMK Seri Bera di Bera.

“Seorang calon mendapat 11 A+ manakala 299 orang calon mendapat antara A+, A atai A-,”katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2021 negeri Pahang di SMK Abdul Rahman Talib, di sini hari ini.

Menurutnya, di Pahang, seramai 17,528 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu.

Jelasnya, SPM 2021 berlangsung dalam tiga sesi melibatkan seramai 10,440 petugas terdiri daripada guru dan kumpulan pelaksana di 195 buah pusat peperiksaan.

“Sebanyak 17, 008 calon telah menduduki SPM dengan peratus kehadiran sebanyak 97.03 peratus.

“Peratus kehadiran menurun 1.05 peratus berbanding 98.08 peratus pada tahun 2020 berkemungkinan berkait rapat kes penularan wabak Covid 19 pada masa itu,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post