Bukan saya seorang tidak setuju rancangan Maszlee, tetapi seluruh Jemaah Menteri - Guan Eng

PETALING JAYA: Lim Guan Eng menafikan beliau menentang rancangan Maszlee Malik untuk memberi makanan percuma kepada murid ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, dengan berkata beliau dan anggota Jemaah Menteri lain mahukan program yang disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. 


Pengerusi DAP itu berkata, Jemaah Menteri, yang menyokong sistem bersasar, secara kolektif menolak idea pemberian makanan percuma kepada kanak-kanak dari semua lapisan masyarakat. 

Baru-baru ini, Maszlee, bekas menteri pendidikan, mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan Lim “sangat tidak bersetuju” dengan program sarapan percuma. 

Lim berkata, “hampir semua orang” dalam Jemaah Menteri tidak menyokong program itu. 

“Kami semua sokong tambah makanan berkhasiat yang diberikan kepada kanak-kanak dan manfaat kesihatannya,” katanya. 

“Bagaimanapun, Jemaah Menteri tidak bersetuju makanan percuma diberikan langsung kepada semua orang; ia perlu (diberikan) berdasarkan keperluan. 

“Bukan keputusan saya untuk menolaknya. Malah, hampir semua anggota Jemaah Menteri tidak bersedia untuk menerima program ini, yang akan memakan belanja hampir RM2 bilion.” 

Lim berkata, beliau dan orang lain yang menentang program ini mempertimbangkan kemungkinan kanak-kanak daripada keluarga berada akan menolak makanan itu, mengakibatkan pembaziran, sedangkan kerajaan telah membelanjakan “ratusan juta ringgit” untuk memberi makanan kepada kanak-kanak miskin tegar. 

Beliau berkata, kajian telah dijalankan untuk program makanan bersasar yang memfokuskan kepada kanak-kanak B40 dan M40 bawahan. Bagaimanapun, ia gagal selepas kerajaan PH digulingkan pada Februari 2020. 

“Kenyataan umum Maszlee itu terlalu ringkas. Hakikatnya, bukan hanya seorang dua yang yang menolak idea itu,” katanya. 

“Jemaah Menteri sememangnya tidak setuju. (Maszlee) boleh tanya Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) tentang perkara ini. Beliau akan mengesahkannya.” 

Pada Oktober 2019, Dewan Rakyat diberitahu bahawa program sarapan percuma itu memberi manfaat kepada 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara pada 2020 dan membabitkan perbelanjaan kerajaan antara RM800 juta dan RM1.67 bilion.
Previous Post Next Post