Hina Islam: Pengurusan kelab buat laporan polis

Crackhouse Comedy Club (CH) berkata, selepas berlaku persembahan berkenaan, individu itu bersama pasangannya dilarang daripada kembali ke kelab. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengurusan kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu yang didakwa menghina kesucian agama Islam menerusi perbuatannya, yang tular di media sosial. 

Dalam satu kenyataan, Crackhouse Comedy Club (CH) berkata, selepas berlaku persembahan itu, individu terbabit termasuk pasangannya dilarang daripada kembali ke premis berkenaan. 

Kelab Crack House

“Pihak kelab sudah membuat laporan polis mengenai insiden berkaitan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail. 

“Kenyataan terperinci berhubung kejadian terbabit akan menyusul,” katanya dalam kenyataan di Instagram. 

Terdahulu, tular video 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail. 

Aksi jelik hina Islam seorang wanita

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat. 

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyatakan sedang menyiasat kejadian video tular itu. 

Sementara itu, setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, mengesahkan pihak berkuasa sudah menerima laporan berhubung penularan rakaman video menerusi dimuat naik @mie_8099, menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan komedi. 

Katanya, satu kertas siasatan dibuka oleh unit siasatan jenayah terkelas mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan. 

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan.

Previous Post Next Post