‘Saya bangga jadi orang Islam’, kata wanita tanggal pakaian ketika berkomedi

Siti Amira Natasha Abdullah dan teman lelakinya bersiaran di YouTube berkaitan video kontroversi di sebuah kelab.

PETALING JAYA: Seorang wanita yang mencetuskan kontroversi susulan aksi menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi solo enggan menjawab soalan pengguna ketika bersiaran langsung di Youtube miliknya hari ini.

Siti Amira Natasha Abdullah yang juga pelawak muncul bersama kekasihnya Alex, menjawab pelbagai soalan pengguna YouTube, terutama berkaitan video kontroversi membabitkan dirinya.

Walau bagaimanapun, wanita terbabit mengelak daripada menjawab soalan berkaitan tindakan beraninya sehingga menerima kecaman pelbagai pihak.

Dia yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak mengakui sangat berbangga menjadi seorang Islam, lapor Kosmo.

Teman lelaki Amira bagaimanapun menghalangnya daripada menjawab soalan berkaitan video kontroversinya kerana enggan jawapan mereka disalah tafsir.

Ketika ditanya pengguna YouTube sama ada kekasihnya gemar berbogel di depan khalayak seperti dilakukannya dalam video tersebut, Alex kemudian menafikannya.

“Saya tidak rasa jika dia seronok berbogel di khalayak,” katanya.

Akaun Youtube Siti Amira dan teman lelakinya

Sementara itu, Bernama melaporkan, polis sedang menyiasat sebuah video tular yang menyaksikan seorang wanita didakwa menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video itu hari ini dan siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (melukakan perasaan umat Islam).

Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Noorsiah meminta orang ramai agar tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

Previous Post Next Post