Kecilkan saiz kabinet, tingkatkan kadar RMT pelajar B40 - Maszlee

Maszlee Malik

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mengulangi keperluan untuk meningkatkan kadar program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) semasa, yang boleh dibiayai dengan mengurangkan saiz kabinet yang begitu ramai.

Dia berkata cadangan itu pertama kali dikemukakan semasa perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat akhir tahun lalu. 

Ketika itu, Maszlee selaku ahli Parlimen Simpang Renggam mencadangkan kadar RMT yang kini pada RM2.50 dan RM3 bagi setiap pelajar di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak masing-masing dinaikkan kepada RM4 dan RM4.50. 

Bagaimanapun, dia mengakui kadar tersebut mungkin perlu ditingkatkan lagi sekarang, dengan kenaikan inflasi yang menyaksikan harga barangan keperluan naik sejak beberapa bulan kebelakangan ini. 

“Itu (cadangan kadar RM4) tahun lepas. Sekarang (perlu ditingkatkan) mungkin lebih banyak lagi,” kata Maszlee ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. 

Dia berkata kadar kenaikan yang munasabah perlu dibincangkan bersama dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah (PPKSM). 

"(Kemudian) minta menteri bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dan pegawainya untuk mengusahakannya," katanya. 

Kurang makanan berkhasiat 

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan Junz Wong melahirkan rasa terkejutnya dengan pendedahan bahawa pelajar sekolah rendah daripada kumpulan berpendapatan rendah B40 hanya disajikan dengan mee kuning goreng kosong dan secebis sayuran untuk sarapan pagi sekolah mereka. 

Dia berkata jika sedemikian, tujuan program RMT yang sepatutnya meningkatkan kesihatan, keadaan fizikal dan amalan pemakanan murid sekolah rendah daripada kumpulan B40 tidak akan menjadi kenyataan. 

Junz Wong, Naib Presiden Warisan 


Sambil merujuk kepada kadar RMT semasa, dia berkata pengusaha kantin sekolah tidak mampu membekalkan makanan berkhasiat kepada pelajar, kerana 450g mee kuning mungkin mencecah harga antara RM1.40 hingga RM2 manakala 200g sayur siew pak choy pula berharga antara RM2 hingga RM2.60.

Sajian itu juga boleh menelan kos sehingga RM5 jika lebih banyak bahan ditambah, seperti ayam, telur goreng atau sekotak kecil susu, katanya.

“Isu yang timbul daripada RMT bukanlah perkara baharu… Saya langsung tidak tahu apa yang dilakukan oleh kerajaan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selama ini. 

“Adakah kerajaan benar-benar tidak mempunyai wang untuk memperuntukkan lebih banyak bajet untuk program RMT? “Atau seseorang telah mengambil dana yang diperuntukkan untuk program RMT untuk tujuan lain?” soalnya.

Wong juga berkata bahawa tiada sebarang petunjuk prestasi utama atau penanda aras untuk mengukur sejauh mana keberkesanan pelaksanaan program RMT, yang telah menyebabkan ia menjadi "kelas ketiga".

“Saya sedih melihat apa yang pelajar sekolah rendah B40 terima untuk sarapan pagi.

“Daripada sibuk membentuk pakatan pilihan raya untuk pilihan raya umum ke-15 yang akan diadakan tidak lama lagi, bolehkah kerajaan BN, PN dan GRS mengalihkan perhatian mereka dengan melihat isu ini yang akan memberi kesan buruk kepada pemakanan dan kesihatan anak-anak kita ?” soal Wong.

Sementara itu, Presiden PPKSM Khairuddin Hamzah sebelum ini dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan membenarkan pentadbir sekolah menyemak semula harga makanan yang ditetapkan dalam kontrak masing-masing. 

Katanya, kenaikan kos bahan mentah makanan telah membebankan pengusaha dan kadar RMT sebanyak RM2.50 dan RM3, yang ditetapkan pada 2015 dan disubsidi oleh kerajaan, tidak lagi mencukupi.

“Ia sepatutnya dinaikkan daripada RM4 kepada RM4.50 setiap pelajar, kos sebenar satu hidangan disediakan kepada setiap penerima.

“Pengusaha RMT mengalami kerugian kerana bahan makanan mentah itu sendiri sudah berharga RM2.50 bagi setiap pelajar. Ini tidak termasuk kos logistik, gaji pekerja dan kos lain.

"Pengusaha tidak mendapat keuntungan daripada ini. Sebaliknya, nampaknya mereka yang memberi subsidi makanan RMT untuk pelajar," katanya.

 

Previous Post Next Post