Najib persoal hadiah Perodua Axia dalam mesyuarat PIBG sekolah

Najib Razak berkata, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan beberapa individu lain memakai baju PN dalam sebuah majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru. (Gambar Facebook Najib Razak)


PETALING JAYA: Selepas Ikmal Hisham Abdul Aziz daripada Bersatu menafikan pemberian jam tangan G-Shock dalam acara Perikatan Nasional (PN), Najib Razak kini mempersoalkan pemberian sebuah Perodua Axia oleh Ahli Parlimen Tanah Merah itu dalam program berasingan.

Katanya, acara itu dikatakan adalah mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Tanah Merah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah dan dirasmikan Ikhmal Hisham.

Bekas perdana menteri itu memetik surat jemputan yang dikatakan dikeluarkan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gading, menyatakan acara pada 2 Julai itu turut menawarkan hadiah utama sebuah kereta untuk cabutan bertuah.

Hadiah lain yang disediakan termasuk lima motosikal, 10 ekor lembu, 10 televisyen 40 inci, 20 telefon bimbit dan 200 hamper, selain kira-kira 100 ekor kambing golek disediakan untuk orang ramai.

Dalam hantaran di Facebook, Najib menegaskan Ikmal Hisham, yang juga timbalan menteri pertahanan, dan individu lain memakai baju PN dalam majlis itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan atau PN yang menanggung semua kos perbelanjaan acara berkenaan.

Semalam, Ikmal Hisham menafikan dakwaan jam tangan G-Shock dan payung diberikan kepada orang ramai bagi meraih sokongan dalam sebuah program PN di Kelantan baru-baru ini.

Beliau menegaskan orang ramai menghadiri acara itu secara sukarela dan pemberian jam tangan atau payung sebagai cenderahati kepada 30,000 hadirin akan menelan belanja puluhan juta ringgit.

 

Previous Post Next Post