“Tiada satu sen pun guna peruntukan KPM” - Radzi Jidin

 


PETALING JAYA: Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan satu sen pun peruntukan dalam penganjuran mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Tanah Merah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah baru-baru ini. 

Beliau berkata, semua sumbangan dan perbelanjaan bagi program itu dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan KPM sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah digunakan untuk membiayai majlis perasmian mesyuarat agung PIBG secara berkelompok sekolah-sekolah di Tanah Merah,” katanya di Facebooknya. 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Najib Razak yang mempersoalkan pemberian sebuah Perodua Axia oleh Ahli Parlimen Tanah Merah itu dalam program berasingan. 

Semalam Ikmal daripada Bersatu menafikan pemberian jam tangan G-Shock dalam acara pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan baru-baru ini. 

Katanya, tidak munasabah belasan juta ringgit dibelanjakan bagi tujuan pemberian cenderahati berupa jam tangan itu seperti didakwa. 

Terdahulu, hari ini Najib berkata, acara itu dikatakan adalah mesyuarat agung tahunan PIBG di Tanah Merah anjuran PPD dan dirasmikan Ikhmal. 

Bekas perdana menteri itu memetik surat jemputan yang dikatakan dikeluarkan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gading, menyatakan acara pada 2 Julai itu turut menawarkan hadiah utama sebuah kereta untuk cabutan bertuah. 

Hadiah lain yang disediakan termasuk lima motosikal, 10 ekor lembu, 10 televisyen 40 inci, 20 telefon bimbit dan 200 hamper, selain kira-kira 100 ekor kambing golek disediakan untuk orang ramai. 

Dalam hantaran di Facebook, Najib menegaskan Ikmal, yang juga timbalan menteri pertahanan, dan individu lain memakai baju PN dalam majlis itu. 

Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan atau PN yang menanggung semua kos perbelanjaan acara berkenaan.
Previous Post Next Post