Remaja 15 tahun parah melecur dibakar rakan

Imej hiasan


CHUKAI: Seorang remaja parah melecur pada bahagian leher dan badannya dipercayai dibakar beberapa rakannya dekat Perasing Jaya, Jabor Kemaman, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata remaja lelaki berusia 15 tahun yang melecur itu pulang ke rumah dengan menangis kesakitan untuk meminta bantuan keluarganya pada kira-kira jam 3 pagi. 

Beliau berkata, bapa remaja terbabit terkejut selepas melihat keadaan anaknya itu yang melecur dari leher hingga ke bahagian belakang. 

"Mangsa yang menangis akibat kesakitan itu ditanya apa yang terjadi dan mangsa menceritakan badannya dibakar oleh rakannya. 

"Siasatan awal polis mendapati, badan mangsa dibakar beberapa rakannya yang menuduhnya mencuri wang tunai berjumlah RM100," katanya. 

Hanyan berkata, mangsa dipercayai disimbah cecair dipercayai minyak sebelum dicucuh api yang menyebabkan badan mangsa melecur. 

"Berikutan itu, polis menahan enam individu termasuk suspek utama berusia 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan. 

"Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati semua mereka negatif dadah," katanya 

Beliau berkata, pihaknya giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. 

"Mangsa kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang," katanya.

 

Previous Post Next Post