45,526 calon SPM 2021 tidak layak sijil kerana gagal BM, Sejarah

Imej hiasan

KUALA LUMPUR : Seramai 45,526 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tidak layak mendapat sijil ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata pada peperiksaan tahun lepas juga seramai 10,681 orang calon tidak hadir menduduki peperiksaan.

Dalam sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Negara hari ini, Datuk Dr Radzi berkata pelajar yang tidak menduduki SPM atau gagal boleh mengambil peperiksaan SPM Ulangan (SPMU) yang dilaksanakan pada setiap tahun.

Selain SPMU, pelajar juga boleh menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada tahun-tahun berikutnya.

Menurutnya, SPMU menawarkan tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan, Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (BN-UMNO) mengenai jumlah pelajar yang tidak layak mendapat sijil termasuk yang tidak menduduki peperiksaan atau gagal dalam peperiksaan SPM pada 2021 serta tawaran atau peluang yang diberikan oleh Kerajaan terhadap mereka.

Previous Post Next Post