Bayar guru jika kerja lebih masa - Dr Anuar

Imej hiasan


Mulai 1 September, pekerja di Malaysia akan mula bekerja maksima 45 jam seminggu. Itu yang diumumkan oleh kerajaan pada dua hari yang lepas. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat jumlah jam waktu mengajar guru juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya. 

"Jika lebih dari masa tersebut, apa yang saya faham, bayaran kerja lebih masa atau gantian cuti rehat mestilah diberikan. 

"Saya membayangkan seorang guru juga mesti dihormati dan diiktiraf hak mereka untuk bekerja maksima 45 jam seminggu. 

"Jika kerja lebih dari masa itu, satu bentuk ganjaran berhak diperoleh oleh guru. Itu pun atas kesediaan guru-guru untuk melakukan kerja lebih masa. Tiada 'paksaan'," kata beliau dalam satu hantaran di Facebooknya. 

Beliau menjelaskan, apa yang sepatutnya menjadi keutamaan guru dengan masa kerja 45 jam tersebut adalah seperti berikut: 

"Pertama, pengajaran: Jika guru mengajar enam waktu sehari (sekitar 1 jam satu waktu - 40 minit mengajar dan 20 minit memeriksa kerja murid), maksudnya seminggu adalah 6 jam x 5 hari= 30 jam. 

"Ada baki 15 jam lagi. 

"10 jam sepatutnya digunakan oleh guru untuk membuat perancangan dan persediaan pengajaran,"jelasnya. 

Beliau berkata, baki 5 jam yang tinggal adalah untuk kerja bukan pengajaran (pentadbiran, pelaporan, ko-kurikulum, jawatankuasa sekolah, latihan dan mesyuarat). 

"Jadi, cukup 45 jam seminggu. 

"Kalau nak guru kerja lebih.. Sila bayar," katanya lagi. 

Menurut beliau lagi, walaupun guru bekerja dengan hati yang ikhlas dan berniat untuk mendidik anak bangsa, guru juga adalah seorang manusia biasa. 

Guru juga mempunyai keluarga yang perlukan perhatian, anak-anak yang perlukan kasih sayang dan diri sendiri yang perlukan kesihatan dan kegembiraan.

 

Post a Comment

0 Comments