Dua suspek pukul ustaz, murid tahfiz berjaya ditahan

Klip video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memukul mangsa.(Gambar kecil: Superitendan Azli Mohd Noor)


LIPIS - Dua pekerja bengkel kimpalan ditahan pada Jumaat selepas dipercayai memukul seorang tenaga pengajar dan pelajar pusat tahfiz dekat Jalan Cheneras di Kuala Lipis di sini pada Khamis. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, tiga lagi suspek telah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat secepat mungkin. 

Menurutnya, kesemua suspek terdiri lelaki berusia lingkungan 30-an. 

"Kira-kira jam 5.10 petang pada Jumaat, satu kejadian pukul berlaku di pusat tahfiz tersebut di mana lima suspek telah pergi ke pusat terbabit dengan menaiki sebuah pikap jenis Isuzu Max warna perak. 

"Tiga suspek telah menyerang seorang ustaz berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit serta seorang pelajar berusia 11 tahun. 

"Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat mangsa berusia 11 tahun di Balai Polis Kuala Lipis pada jam 6.43 petang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. 

Jelasnya, serbuan telah dilakukan di kawasan Damak, Jerantut dan berjaya menahan dua suspek manakala tiga lagi masih bebas. 

"Kedua-dua suspek juga didapati positif metaphetamine dan hasil semakan mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

"Kedua-duanya dikenakan reman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin ini," katanya. 

Ujarnya, tenaga pengajar terbabit cedera di mata sebelah kanan dengan empat jahitan, tangan dan lebam di badan manakala pelajar cedera di badan. 

"Kejadian dikatakan berpunca akibat tidak puas hati terhadap tenaga pengajar tersebut berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz berkenaan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sebelum itu, dua buah klip video berdurasi 57 dan 33 saat tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki memukul mangsa tersebut.

 

Previous Post Next Post