Jumlah murid dalam kelas punca pelaksanaan PBD guru tidak berkesan - Pensyarah

28 Ogos -  Kajian-kajian pendidikan menunjukkan bilangan murid di dalam bilik darjah akan mempengaruhi keberkesanan amalan pendidikan sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan. 

Menurut Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, keadaan yang pertama adalah bilangan murid yang besar di dalam bilik darjah akan mengurangkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Keadaan kedua pula tambahnya, bilangan murid yang besar di dalam bilik darjah akan mengurangkan keberkesanan pelaksanaan pentaksiran murid di dalam bilik darjah dan yang ketiga, bilangan murid yang besar di dalam bilik darjah akan mengurangkan keberkesanan pengurusan kepelbagaian keupayaan murid.

"Apabila sesebuah bilik darjah mempunyai bilangan pelajar yang terlalu ramai misalnya 45 orang atau pun 50 orang, apa yang akan berlaku ialah  guru tidak mempunyai ruang masa dan juga keupayaan untuk memastikan kepelbagaian pendekatan PdPC pembelajaran dapat dilaksanakan. 

"Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dan guru tidak mempunyai kemampuan untuk memberikan perhatian kepada setiap murid secara berkesan. 

"Setiap orang murid mempunyai kepelbagaian tahap pemahaman dan penerimaan pengajaran dan jika guru ingin mengamalkan pengajaran terbeza (PAK21), ia adalah sesuatu yang sangat sukar dilaksanakan secara berkesan," katanya.

Jelasnya, sesebuah bilik darjah yang mempunyai murid yang ramai juga akan berhadapan dengan kesukaran untuk guru melaksanakan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang berkesan untuk mengukur tahap sebenar pencapaian murid-murid. 

Tambahnya lagi, apabila sesebuah bilik darjah mempunyai bilangan murid sehingga 45 orang murid atau mungkin lebih, guru-guru tidak mempunyai kemampuan untuk mentaksir dengan baik sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

"Pentaksiran murid di dalam bilik darjah berkemungkinan besar tidak menepati ataupun menyeluruh untuk menggambarkan pencapaian sebenar murid-murid di dalam kelas bagi setiap mata pelajaran. Akibatnya, intervensi juga tidak akan berkesan," katanya lagi.

Mengurus kepelbagaian murid

"Apabila sistem pendidikan negara kita mula melaksanakan sistem ‘non-streaming” dan melaksanakan amalan kepelbagaian tahap pencapaian murid di dalam sesebuah kelas, maka akan ada kumpulan murid  yang berbeza-beza tahap keupayaan dan kebolehan mereka di dalam pembelajaran," katanya.

Beliau berkata sekurang-kurangnya akan ada tiga kumpulan murid di dalam satu kelas yang sama iaitu kumpulan murid cerdas, kumpulan murid sederhana, dan kumpulan murid yang memerlukan bimbingan khusus ataupun pemulihan pembelajaran.

"Bayangkan, apabila di dalam sesebuah kelas bilangan murid terlalu ramai dan pada masa yang sama juga murid-murid ini mempunyai tahap keupayaan yang berbeza-beza, pasti guru akan berhadapan dengan kesukaran untuk melakukan pengajaran terbeza dan 'personalized learning' kepada setiap murid-murid mereka.

"Sejak dahulu, pemimpin pendidikan negara kita memang suka mengambil amalan-amalan terbaik pendidikan dari negara-negara yang mempunyai bilangan murid yang kecil dalam bilik darjah untuk kita contohi," jelasnya. 

Beliau memberi contoh, ketika negara mahu mengamalkan pentaksiran bilik darjah, negara yang menjadi panduan adalah negara yang bilangan murid-murid mereka di dalam kelas biasanya hanya 20 hingga 25 orang. 

"Kita bawa balik amalan PBD ini dan ‘dipaksakan’ untuk guru laksanakan di dalam kelas negara kita yang mempunyai 45 orang murid. Malah dibekalkan dengan pesanan “kalau mereka di sana boleh, mengapa pula kita di sini tak boleh?

"Begitu juga, kita ingin melakukan 'non-streaming class'. Di negara maju, bilangan murid-murid mereka di dalam kelas adalah kecil dan guru-guru mereka memang boleh melakukan PdPC terbeza atau pendekatan 'personalized learning' dengan memberikan banyak perhatian mengikut keadaan dan keperluan murid-murid walaupun di dalam bilik darjah yang sama. 

"Kita pula ambil amalan itu walaupun kita tahu yang murid-murid mereka tidak ramai di dalam kelas. 

"Kita sebaliknya mahu laksanakan pendekatan yang sama dengan perkenalkan PAK21 yang menekankan kepelbagaian kaedah pembelajaran di dalam bilik darjah. Tetapi bilik darjah negara kita mempunyai bilangan pelajar yang ramai," katanya lagi.

Akhirnya apa yang berlaku? 

Beliau berkata, walaupun guru-guru telah mencuba sedaya upaya untuk melakukan amalan-amalan tersebut, kajian-kajian yang ada menunjukkan antara halangan terbesar untuk memastikan amalan-amalan ini berjalan dengan berkesan telah dipengaruhi oleh bilangan murid yang terlalu ramai di dalam bilik darjah dan wujudnya kepelbagaian tahap keupayaan murid.

"Walaupun pemimpin pendidikan kita mungkin berkata 'kita sudah berusaha' dengan 'membawa balik' amalan terbaik dari negara-negara yang maju pendidikan mereka tetapi jika tidak ada ekosistem seperti bilik darjah yang ada di negara-negara tersebut, kita sebenarnya sedang ambil risiko dengan melaksanakan amalan-amalan terbaik pendidikan negara orang secara tidak berkesan di dalam sistem pendidikan negara kita.

"Bila beli baju tapi ukur di badan orang lain, sampai bila pun baju yang kita pakai tak akan nampak cantik," kata beliau.

Previous Post Next Post