Kekurangan guru: Kerjasama semua pihak diperlukan, bukan KPM semata-mata

Imej hiasan

Bukan luar biasa apabila isu kekurangan guru sering dilaporkan di kawasan pedalaman. Kedudukan sekolah yang jauh terpencil menyebabkan ramai guru enggan mengajar di sana selain faktor lebih selesa berkhidmat di kampung halaman sendiri.

Bagaimanapun, masalah kekurangan guru juga mula berlaku di kawasan bandar seperti dikongsikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin dalam pembentangan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau menyebut, kekurangan guru di kawasan bandar lebih signifikan berbanding luar bandar dari segi jumlah kekosongan. Jumlah guru di kawasan bandar ketika ini adalah seramai kira-kira 307,000 orang dan masih ke. kurangan kira-kira 10,000 orang. Angka itu lebih tinggi berbanding di kawasan pedalaman dengan jumlah kira-kira 110,000 guru dan 4,732 kekosongan.

Hal ini menimbulkan tanda tanya, apakah faktor yang menyebabkan sekolah di bandar turut berhadapan dengan kekurangan guru?

Perlu kerjasama semua pihak 

Bagi Pakar Pendidik Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebang saan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, terdapat banyak faktor yang menyebabkan isu kekurangan guru turut dihadapi di bandar.

Malah, meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil pelbagai pendekatan untuk mengatasi masalah itu namun ia sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak hanya diatasi oleh KPM semata-mata.

Anuar berkata, kekurangan guru di bandar dipengaruhi kewujudan kawasan perumahan dan kepesatan pembandaran baharu dengan begitu ketara sejak 20 tahun lalu.

Justeru, setiap kawasan perumahan baharu ini memerlukan sekolah bagi menampung keperluan semasa.

"Keadaan ini menyebabkan permintaan guru baharu akan meningkat dengan mendadak berbanding dengan unjuran yang dilakukan oleh KPM.

"Seharusnya KPM mestilah dimaklumkan lebih awal mengenai pelan untuk mewujudkan kawasan perumahan baharu supaya dapat diselarikan dengan keperluan.

"KPM perlu diutamakan bagi memudahkan perancangan guna tenaga guru di kawasan berkaitan," katanya.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya menyebabkan KPM perlu menggunakan khidmat guru di sekolah lain yang terpaksa dipinjamkan ke sekolah baharu yang tentu sahaja mempengaruhi bilangan guru.

Tegas Anuar, kekurangan guru juga berlaku disebabkan meningkatnya jumlah mereka yang bersara awal. Apabila ditambah dengan kadar guru bersara wajib, angkanya cukup besar.

Malah katanya, pengambilan guru baharu pada setiap tahun masih tidak dapat menampung bilangan pendidik yang bersara awal dan bersara wajib.

"Lama-kelamaan, jumlah kekurangan guru akan membesar dan menjadi masalah sebagaimana yang sedang kita hadapi sekarang, katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kama Shaffeei, berkata secara umum masalah kekurangan guru sudah agak lama diperkatakan namun sehingga kini ia belum diselesaikan secara tuntas.

Justeru katanya, isu kekurangan guru perlu dilihat secara menyeluruh sama ada ia berlaku di bandar atau pedalaman.

Katanya, tanpa tindakan yang bijak, isu kekurangan guru berpotensi menjejaskan mutu pendidikan negara secara keseluruhannya.

"Kita perlu lihat dengan jelas, umumnya di pedalaman faktor persekitaran sekolah juga lokasinya selain kehadiran murid juga menyumbang kepada isu ini.

"Guru lebih berminat untuk mengajar di sekolah yang berada di pinggir bandar atau pekan kecil berbanding sekolah yang berada di kawasan kampung atau pedala. man.

"Faktor lokaliti sekolah juga memainkan peranan penting kurangnya guru mengajar di kawasan ini," katanya.

Namun dalam kes kekurangan guru di bandar pula ia dikaitkan dengan faktor kos sara hidup di bandar yang lebih tinggi. Justeru, hal ini memang menjadi bebanan ditambah juga dengan tugas sampingan selain daripada mengajar di sekolah.

"Lantaran itu, kita melihat sebilangan guru memilih untuk meletakkan jawatan dan beralih ke profesion yang lain.

"Isu ini juga perlu diberi perhatian utama bagi mengelakkan kehilangan guru berkemahiran dan pakar dalam sesuatu bidang." katanya.

Guru harus terbuka 

Sementara itu, bagi guru Pendidikan Islam, Mohd Asmawi Ali, 40, yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun mengajar di sekolah luar bandar berpendapat, guru harus terbuka untuk mengajar di kawasan pedalaman terutama guru baharu.

Katanya, percaya pada janji Tuhan dan amanah tugas paling utama.

"Di mana pun tempat bertugas adalah rezeki namun bagi guru baharu mengajar di pedalaman sebenarnya membuka perspektif kita terhadap pelbagai perkara.

"Tak kenal maka tak cinta, pergi dulu sebelum menolaknya. Ingatlah aku janji sebelum menjadi guru dahulu antaranya sanggup berkhidmat di mana sahaja terutamanya pedalaman.

"Anak-anak murid di pedalaman sangat memerlukan guru untuk menabur bakti dan membimbing mereka di sana," katanya.

Berkongsi pengalaman peribadi, Mohd Asmawi yang berasal dari Kedah ditempatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut, Beluran, Sabah sebaik tamat pengajian.

Katanya, walaupun pada peringkat awal dia langsung tidak tahu mengenai kawasan berkenaan kerana kurangnya informasi mengenainya namun tetap bersedia untuk berkhidmat di sana.

"Perjalanan ke sana sangat mencabar kerana perlu merentas Laut Sulu dan Sungai Beluran. Kami perlu meredah ombak besar dan tinggi hingga bot terhuyung hayang.

"Waktu itu memang sudah terbayangkan kematian. Namun itulah sebahagian perjalanan hidup dan amal jariah sebagai guru," katanya.

Mohd Asmawi berkata, sesudah 15 tahun bertugas di pedalaman beliau akhirnya ditukarkan ke kawasan pinggir bandar apabila mengajar di SMK Kota Marudu 2 sejak Mac lalu.

Berbanding Beluran yang agak terpencil Kota Marudu berada dalam bahagian Kudat. Ia dibuka pada 2006 dan kini memiliki lebih 1,000 pelajar dengan sekitar 55 guru.

Artikel asal: BH Pendidikan



Previous Post Next Post