Kualiti pembelajaran buku teks terus dipertingkat melalui kaedah digital

Imej hiasan via Cikgu Hailmi

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus meningkatkan kualiti pembelajaran buku teks murid-murid di Malaysia melalui kaedah digital seiring pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Shaiful Hasnan Abdul Hamid berkata, KPM telah mula bereksperimen dengan teknologi seperti realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan lebih banyak sumber pendidikan interaktif untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Menurutnya, KPM menyasarkan pembangunan generasi yang mahir dalam digital, berdaya tahan sekaligus mampu menjadi pemain global pada masa depan.

"Untuk itu, kami menumpukan kecekapan guru, kemahiran pelajar, operasi mengautomasikan, kerja jauh dan model pemiagaan baharu.

"Elemen tersebut merangkumi analitik data, teknologi dan perisian di mana semuanya bertindak sebagai pemboleh, di samping turut mengetengahkan aspek kepimpinan dan budaya.

"Sebaik sahaja kita dapat menggabungkan aktiviti digital dengan kepimpinan yang kukuh untuk mengubah teknologi menjadi transformasi, barulah kematangan digital boleh dicapal," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Nor Zamani Abdol Hamid dalam seminar Global Textbook Trends: Insights for Governments and Publishers yang berlangsung secara maya pada Selasa.

Dalam pada itu, Shaiful Hasnan berkata, guru-guru di Malaysia juga perlu berpengetahuan dan cekap menggunakan teknologi, aplikasi dan perkhidmatan supaya mereka dapat terus mendidik para pelajar.

"Ibu bapa telah menunjukkan sokongan untuk memastikan anak-anak mempunyai komputer riba dan telefon pintar supaya mereka boleh belajar. "KPM turut memberikan sokongan

dengan memastikan kebolehcapaian sumber pendidikan kepada semua pelajar melalui platform pembelajaran digital Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMA). TV pendidikan, buku teks, buku aktiviti dan modul bercetak." katanya.

Menurutnya, kerajaan telah memulakan inisiatif untuk mendigitalkan sistem pendidikan melalui. Pelan Pendidikan Digital yang sebahagiannya telah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 - 2025). Pelan Tindakan - Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (Dasar 4IR Negara).

Katanya, pelan itu adalah selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia untuk gelombang tiga yang memberi tumpuan terutamanya kepada inovasi dalam tindakan

"Selepas menghadapi krisis pendidikan yang monumental sejak dua tahun lalu, kita perlu menjadikan e-pembelajaran dan pembelajaran dalam talian sebagai sebahagian daripada kebiasaan baharu kita," jelasnya.

- Sinar Harian

Previous Post Next Post