Lelaki buat bising di mahkamah seorang guru sakit mental

ANGGOTA polis menahan seorang lelaki yang membuat bising di lobi mahkamah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Kuala Lumpur: Lelaki misteri yang membuat bising di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, pagi tadi dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek hadir ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 billion membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Namun petugas tidak membenarkan lelaki berkenaan memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes berkenaan dan mengarahkannya untuk beredar secara baik.

"Apabila sampai di perkarangan mahkamah, lelaki berkenaan bertindak membuat ucapan dengan suara yang lantang dan kuat ke arah media yang sedang membuat liputan perbicaraan kes 1MDB Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya diarahkan oleh pihak polis untuk beredar supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Siasatan mendapati suspek adalah guru dan dipercayai mempunyai masalah mental.

"Lelaki berkenaan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan," katanya.

Sumber: Harian Metro

Previous Post Next Post