Radzi tolak kebimbangan murid ponteng sekolah kerana tiada peperiksaan

KUALA LUMPUR: Apabila murid hanya akan menduduki peperiksaan awam pertama mereka di usia 17 tahun, ibu bapa dan juga guru perlu menjadi kreatif supaya anak-anak mereka mengambil berat pelajaran mereka dengan serius.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie) Melaka Mak Chee Kin berkata, beliau bersetuju kemungkinan untuk murid tidak memberi perhatian itu ada jika mereka tahu mereka tidak akan diuji.

“Memandangkan tiada peperiksaan untuk murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga lagi, mereka mungkin tidak ambil peduli. Mereka mungkin tidak bermotivasi untuk melakukannya. Jadi, guru perlu kreatif untuk menarik perhatian pelajar,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Cochrane dan SMK (P) Bandaraya Faizal Mohammad Arshad berkata sistem persekolahan perlu jadi lebih menarik untuk menarik minat pelajar belajar dan terus hadir ke sekolah.

"Guru perlu lebih kreatif untuk memastikan kanak-kanak cemerlang bukan di biadang akademik semata-mata," katanya sambil menambah bahawa pendidik sudah mempunyai banyak kaedah dan alat yang boleh digunakan.

2 Jun yang lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan tiada lagi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun ini manakala Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan pada April tahun lepas.

Mulai tahun hadapan, kumpulan murid pertama yang menggunakan PBS akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ianya  menjadi tanggungjawab guru untuk menjadikan pelajaran menarik.

“Guru dilatih untuk menarik minat pelajar. Apabila guru dilatih untuk melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan, kebimbangan ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Mengulas kebimbangan yang sama, Radzi berkata tanggungjawab guru adalah untuk mengekalkan minat pelajar, sambil menambah bahawa mereka mesti mencari jalan untuk menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih menyeronokkan.

“Guru mesti lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan pelajar sentiasa terlibat semasa pelajaran tanpa peperiksaan, katanya semasa Forum Transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 semalam. Beliau berkata, ramai guru terlalu sibuk pada masa lalu kerana ingin memastikan murid cemerlang dalam peperiksaan.

“Selagi kita tidak mansuhkan peperiksaan, seluruh sistem pendidikan hanya akan berfokuskan peperiksaan. Guru pula hanya akan fokus memberi latihan supaya murid mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Radzi juga menolak kebimbangan bahawa murid mungkin ponteng pelajaran kerana peperiksaan telah dimansuhkan.

"Adakah pelajar ponteng sekolah kerana tiada peperiksaan atau kerana ia sangat membosankan?" katanya, sambil menambah bahawa di negara membangun di mana peperiksaan telah dimansuhkan, murid masih meneruskan persekolahan mereka.

“Kita dapat lihat ramai pelajar (di negara di mana peperiksaan dimansuhkan) teruja untuk hadir ke sekolah kerana mereka melihat nilai bertemu guru dan rakan. Sekolah adalah tempat yang menyeronokkan untuk mereka belajar,” katanya.

Mengakui sistem pendidikan semakin jumud, Radzi berkata kementerian telah mengambil langkah untuk melakukan penambahbaikan.

“Kita perlu semua sektor memberi kerjasama dengan kementerian supaya ekosistem pendidikan kita akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kementerian, katanya, sedang mengkaji pendekatan teknologi yang boleh digunakan oleh guru untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

“Kanak-kanak hari ini sangat dekat dengan peranti mereka. Ia adalah sebahagian daripada siapa mereka. Kita mahu lihat bagaimana kita boleh  menggunakannya untuk kelebihan mereka,” katanya.

Sebagai maklum balas, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata guru sudah pun kreatif dan inovatif.

Beliau bagaimanapun merayu kementerian menyediakan peruntukan untuk guru membeli peranti teknologi.

Previous Post Next Post