Tangki air sekolah pecah, sekumpulan murid cedera

 

Imej via FB Dr Radzi Jidin

KOTA BHARU: Sekumpulan murid cedera selepas tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, ketika memaklumkan kejadian itu, berkata kesemua pelajar yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Selepas selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara sebentar tadi, saya menerima berita mengenai kejadian tangki air pecah di SMK Melor, Ketereh, Kelantan.

"Dimaklumkan beberapa orang murid mengalami kecederaan akibat kejadian tangki air pecah yang menimpa laluan pejalan kaki sekolah itu.

"Murid yang cedera sudah di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di Faceebook.

Radzi berkata, beliau sudah mengarahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya melaksana kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah itu dalam kadar segera.

"Ini bagi memastikan fasiliti dan infrastruktur sekolah berkenaan sentiasa berada dalam baikdan selamat untuk kegunaan warga sekolah.

"Sama-sama kita doakan agar mereka yang terbabit dalam insiden ini diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala," katanya.
Previous Post Next Post