Hala tuju KPM kabur, kian membebankan guru - Maszlee


Pakatan Harapan (PH) menyifatkan hala tuju pendidikan selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentafsiran Tingkatan Tiga (PT3) kabur serta merencatkan pendidikan.

Dalam kenyataannya, Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) berkata, lebih memburukkan keadaan langkah yang diambil ia bukan saja hala tuju yang kabur, malah membebankan warga pendidik.

JKPPH beranggapan ada banyak masalah utama yang berlaku dalam sistem pendidikan tetapi gagal diselesaikan oleh Radzi Jidin selaku menteri pendidikan.

"Antara isu utama yang mengakar dalam pendidikan adalah pemansuhan UPSR dan PT3 yang beralih kepada Pentaskiran Berasaskan Bilik Darjah(PBD). 

"Ternyata sehingga hari ini arah tuju yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih kabur dan merencatkan proses pendidikan di sekolah, malah melemahkan motivasi murid.

"Selain itu, guru-guru yang memang dibebani tugas bukan mengajar yang semakin bertambah masih belum diatasi oleh pihak KPM sedangkan isu ini sering dibangkitkan oleh guru-guru," katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Pada 9 Ogos lalu, KPM memaklumkan keputusan mereka untuk tetap dengan pendirian memansuhkan UPSR dan PT3 walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula. 

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Mohamad Alamin, berkata UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang, bukannya terhad dalam bidang akademik saja. 

JKPPH turut berpandangan isu berkenaan wajar diselesaikan segera oleh guru-guru memandangkan tekanan yang dihadapi oleh warga pendidik boleh melemahkan prestasi mereka ketika mengajar. 

"Akhirnya, menjadi agenda utama JKPPH bahawa semua murid layak dan harus mendapat pendidikan yang sewajarnya, namun KPM masih berdiam diri dan tiada sebarang perancangan besar untuk mengatasi keciciran murid dalam pendidikan. 

"Justeru JKPPH beranggapan menteri pendidikan gagal menyelesaikan kepincangan besar yang berlaku dalam pendidikan sedangkan hampir kesemua masalah yang dibangkitkan oleh JKPPH sedang diselesaikan oleh menteri dan timbalan menteri pendidikan ketika itu pada tahun 2018 sehingga 2020," kata kenyataan itu lagi.

 

Previous Post Next Post