KPM siasat dakwaan guru ‘dipaksa’ hadir taklimat pilihan raya semasa sesi persekolahan

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bergambar bersama murid sekolah selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1) di sini, hari ini.


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyiasat dakwaan terdapat guru di sebuah sekolah menengah di Kajang dipaksa menghadiri taklimat petugas pilihan raya umum (PRU) semasa sesi persekolahan, baru-baru ini. 

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, beliau akan menyemak semula kes itu dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengetahui maklumat yang lebih terperinci. 

“Secara umumnya sekiranya SPR ingin melakukan taklimat tetapi guru tersebut sedang menjalankan tugas maka keutamaan akan diberikan kepada tugas guru tersebut kerana kalau semua pergi takimat, sekolah siapa yang nak jaga? 

“Kes ini akan saya semak apakah konteks kes tersebut dan apa yang penting kita bekerjasama dengan SPR dalam menyediakan masa yang terperinci supaya tugas-tugas guru di sekolah tidak akan terganggu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. 

Terdahulu beliau melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1) di sini. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1) di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap program yang diadakan mesti tidak memberikan kesan terhadap tugasan guru di sekolah. 

“Saya sendiri pun kalau nak buat program saya akan cuba buat di luar waktu sekolah dan kalau waktu sekolah pun akan melibatkan guru-guru yang tidak bertugas pada hari tersebut,” tegasnya. 

Sementara itu mengulas mengenai program sukan tersebut Radzi berkata, pelaksanaan program itu adalah bertujuan mengenal pasti bakat murid berumur bawah 12 tahun yang berpotensi dalam sukan sepak takraw. 

“Murid yang berpontensi tersebut akan ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM),” ujarnya. 

Untuk rekod, 150 buah sekolah akan terlibat dalam fasa pertama program tersebut dengan melibatkan sekitar 1,500 orang murid. 

Pada masa sama sebanyak, 10 orang mentor akan bergerak dari sekolah ke sekolah untuk melihat murid-murid yang berpotensi untuk digilap bakatnya dalam sukan sepak takraw.

 

Previous Post Next Post