Dr Radzi Jidin berucap pada Majlis Pelancaran Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) hari ini. FOTO BERNAMA |
Putrajaya: Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak 'membunuh' potensi anak masing-masing terlalu awal dan terlampau tertumpu untuk mengejar kejayaan dalam bidang pendidikan semata-mata.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, setiap anak-anak itu mempunyai kekuatan dalam bidang masing-masing.
"Petang tadi (semalam) saya berkesempatan menonton filem Anak Rimau bersama 250 murid dari sekitar Lembah Klang. Filem ini menceritakan mengenai sekumpulan anak murid yang berbakat dalam bola sepak di sebuah akademi.
"Saya cukup tersentuh dengan beberapa babak dalam filem ini, pertama bila kapten (ketua pasukan) yang dikenali sebagai Arif menceritakan bagaimana sewaktu di sekolah rendah dia berasakan tidak dihargai oleh sesiapa.
"Ini kerana dia bukanlah seorang murid pandai, gurunya juga tidak memandang kebolehan Arif. Malah bapanya juga mengatakan beliau tidak mempunyai masa depan.
"Arif sangat terkesan dengan apa yang berlaku dan perkara sebegini sangat memberi kesan kepada anak-anak kita. Apabila dia rasakan tidak ada nilai di sekolah, maka mereka mula menjauhkan diri daripada sekolah," katanya menerusi video di TikTok, hari ini.
Pertengahan cerita, Radzi berkata, Arif dalam satu babak menceritakan akhirnya beliau rasa dihargai ketika berada dalam akademi dan mengetahui sebenarnya mempunyai kekuatan dalam bidang bola sepak.
"Sewaktu di akademi ini barulah dia tahu bahawa sebenarnya diri dia ada kekuatan sehingga dilantik sebagai kapten pasukan, bagi dia kalau tak masuk akademi itu dia tidak tahu akan kekuatan itu, dia rasakan dia hanyalah manusia tiada nilai.
"Sebab itu saya selalu sebut, kita tidak boleh membunuh potensi anak terlalu awal kerana setiap seorang daripada kita ada kekuatan masing-masing," katanya.
Justeru Radzi meminta supaya pelajar untuk tidak merasakan diri mereka kecil kerana setiap individu mempunyai kekuatan yang berlainan.
"Tak pandai dalam bidang akademik atau mata pelajaran tertentu, mesti akan ada kekuatan lain dalam diri itu. Insya-Allah dengan usaha, mereka akan berjaya dan melonjak ke hadapan.
"Apa yang penting jangan bunuh potensi anak kita terlalu awal, saya doakan yang terbaik untuk generasi dan pewaris masa hadapan kita," katanya.
Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Filem berkenaan dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).