Simulasi pilihanraya di sekolah satu langkah yang baik - Pensyarah

Imej hiasan via https://ti-penang.edu.my/


AWANA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin kuat. Ramai mengandaikan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan rentetan peristiwa yang berlaku dalam negara, sedikit sebanyak membayangkannya bakal berkunjung tiba. 

Tambahan lagi, saban hari dapat dilihat kolumnis dan penganalisis politik tempatan mewarkahkan pandangan dan pendapat mereka tentang PRU15 dari pelbagai sudut. 

Ada yang mengatakan PRU15 mungkin diadakan pada akhir tahun ini atau Februari depan. Ada pula berpendapat, teka teki tersebut hanya akan terjawab dengan menepati tempoh rasmi berakhirnya Parlimen penggal ke-14 iaitu pada 16 Julai 2023. 

Masing-masing mempunyai firasat sendiri yang menggembirakan sekiranya PRU15 diadakan mengikut telahan mereka.

Walau apa pun pandangan yang diterjahkan, keputusan akhir terletak kepada dua entiti, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Perdana Menteri sebagai ketua jemaah menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pembubaran Parlimen. 

Di bawah Perkara 55 (2), Seri Paduka mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen. Sama ada diterima atau tidak, keputusan pembubaran Parlimen terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Di bawah Perkara 40 (2)(c), Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara boleh untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen. 

Dalam senario lain, di bawah Perkara 43 (4), Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen berikutan kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan. 

PRU kali ini dianggap istimewa dan ditunggu-tunggu oleh banyak pihak selepas PRU14 yang telah mengubah landskap politik negara selepas 60 tahun. 

Pindaan Rang UndangUndang (RUU) terhadap perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan diluluskan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen. Pindaan tersebut melibatkan menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi dari 21 kepada 18 tahun (Undi18). Di seluruh dunia, lebih 100 negara sudah pun mengamalkan had umur 18 tahun untuk mengundi. Walaupun agak lambat berbanding negara-negara lain, penurunan had umur bagi kelayakan mengundi menunjukkan masyarakat mula menerima perubahan sejajar perubahan yang berlaku dalam dunia kepolitikan amnya. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 12 Januari lalu, sebanyak 5.8 juta pengundi baharu telah disertakan dalam senarai daftar pemilih sedia ada sebanyak 15.3 juta orang. 

Ini membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 21.1 juta pengundi. Daripada jumlah ini, 1.2 juta adalah golongan belia berumur antara 18 hingga 21 tahun. Ramai yang menjangkakan kehadiran pengundi muda sedikit sebanyak akan mewarnai keputusan PRU15 kali ini. 

STESEN KERETA API 

Dalam pada itu, ada pihak yang mempertikai kemampuan golongan belia dalam membuat keputusan sebegitu besar, iaitu menentukan hala tuju negara di masa hadapan. Umur 18 tahun dianggap terlalu muda, seakan-akan masih merangkak dan tidak mengetahui perjalanan pentadbiran di negara ini. 

Perlu dinyatakan di sini, negara-negara seperti Sudan, Korea Utara, Indonesia, Greece dan Timor Leste melayakkan rakyatnya yang berumur 17 tahun untuk mengundi. Di Bosnia and Herzegovina, walaupun kelayakan mengundi adalah 18 tahun, namun penduduk yang sudah bekerja berumur 16 tahun layak untuk mengundi. Bagi negara-negara tersebut, golongan belia dianggap sudah cukup matang menganalisis apa yang terbaik untuk mereka dan negara. 

Mungkin kita terlambat sedikit dalam soal had umur tetapi itu tidak bermakna kita sudah terlepas 'stesen kereta api' yang ditujui. Kelulusan pindaan RUU tersebut memberi kita peluang untuk menyertakan golongan belia dalam sistem politik negara. 

Baru-baru ini, Pusat Kajian Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menjalankan kajian terhadap responden berumur 16 hingga 30 tahun berkaitan dengan Undi18. Dalam kajian tersebut, didapati sebanyak 38 peratus berpendapat bahawa institusi pendidikan perlu mendidik golongan muda tentang proses demokrasi di negara ini. 

Memang betul apa yang dikatakan tentang peranan institusi pendidikan tersebut. Pendedahan secara menyeluruh perlu diberikan agar kelak, anak-anak kita tidak diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. 

Inisiatif yang diambil oleh beberapa buah sekolah dengan melaksanakan program simulasi pilihan raya dalam kalangan pelajar harus dipuji dan perlu dicontohi oleh institusi pendidikan lain. Serta, simulasi pilihan raya ini perlu dijadikan sebagai salah satu aktiviti, baik dalam program panitia, kelab dan persatuan atau projek sekolah bersama agensi kerajaan. 

Pendek kata, pelapis pemimpin muda mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap kestabilan, kesejahteraan dan pembangunan negara. Mereka harus dipimpin dan dididik untuk memastikan amanah yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu terus disuburkan. 

Dengan pengenalan Undi18 yang bakal digunakan pada PRU15, golongan muda haruslah menunaikan kewajipan mereka dengan meletakkan kepentingan negara sebagai matlamat utama. 

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Kedah.

Artikel asal Utusan Malaysia




 

Previous Post Next Post