Pengetua SMK Senaling beri tempoh 48 jam mohon maaf


KUALA PILAH - Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling memberi tempoh 48 jam kepada pihak memfitnahnya untuk meminta maaf berhubung kain rentang yang menuduhnya sebagai 'pengetua mental' dan tidak berhati perut. 

Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsi di Facebooknya, Normah Mohd Nor menafikan segala tuduhan disebarkan yang didakwa tidak benar, berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya dan sekolah. 

"Saya mengambil maklum tentang penyebaran kain rentang dan hantaran di media sosial yang berbaur fitnah ke atas diri saya. 

"Sebagai pengetua, saya dengan sepenuh hati menggalas amanah apabila ditempatkan di sekolah ini yang sudah lapan bulan tiada pengetua," katanya. 

Ujar beliau, tindakannya yang membuat penstrukturan semula dipercayai telah mengundang serangan ke atas dirinya dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran. 

Jelasnya, beliau bersikap terbuka untuk berbincang sebelum ini tetapi tidak akan berkompromi kepada individu yang culas dan sambil lewa dalam berkerja termasuk tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang perkhidmatan. 

"Saya berpegang kepada piagam pendidikan dan ikrar sebagai seorang pengetua dan guru. 

"Saya telah membuat satu laporan polis mengenai apa yang berlaku dan kes ini masih dalam siasatan," katanya. 

Beliau berkata, turut melantik peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan fitnah terbabit kerana melibatkan maruahnya serta imej sekolah keseluruhannya. 

Normah berkata, tindakan sama turut akan diambil terhadap individu dan akaun laman sosial yang menularkannya perkara itu di pelbagai platform. 

"Sebagai seorang pentadbir saya tetap manusia yang mempunyai timbang rasa. 

"Tekanan tidak mungkin membuatkan saya berganjak daripada mencari kebenaran dan menyatakan hak sekali gus menghilangkan fokus untuk mengembalikan kecemerlangan di SMK Senaling," katanya. 

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kain rentang yang dipasang pada pagar sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah yang meminta pengetua serta seorang guru kanan pentadbiran dipindahkan dari sekolah itu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, laporan itu diterima daripada seorang guru, pada Jumaat. 

"Bagi saya, ini isu dalaman sekolah sahaja," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

 

Post a Comment

0 Comments