Sekolah 'bukan pilihan' ibu bapa diperkasa, elak ketidakseimbangan populasi murid

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata segelintir ibu bapa telah memalsukan alamat rumah mereka bagi memastikan anak-anak mereka layak untuk ditempatkan di sekolah yang dianggap lebih berprestij.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang memperkasakan sekolah yang "bukan pilihan" ibu bapa untuk membantu mencapai potensi anak mereka.

Ini dilakukan bagi mengatasi masalah segelintir ibu bapa lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah "lebih baik" yang terletak lebih jauh, walaupun mempunyai sekolah berhampiran rumah mereka.

Menteri Pendidikan Kanan Datuk Dr Radzi Jidin berkata segelintir ibu bapa malah memalsukan alamat rumah bagi memastikan anak-anak mereka layak untuk ditempatkan di sekolah yang dianggap lebih berprestij.

Ini katanya, telah mewujudkan keadaan di mana beberapa sekolah kekurangan pelajar manakala yang lain mempunyai populasi pelajar yang sesak.

“Ini mewujudkan ketidakseimbangan. Sekolah yang mendapat permintaan tinggi akan terus diisi manakala yang lain tidak.

"Ketidakseimbangan ini berlaku apabila sesetengah sekolah dilihat 'lebih baik' daripada yang lain," katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan kementerian dengan pengarang media kanan di sini hari ini.

Turut hadir pengarang kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Radzi berkata pergerakan pengetua dan guru besar antara sekolah mampu mewujudkan kemeriahan di semua sekolah di seluruh negara.

Ini katanya juga akan membolehkan warga pendidik berkongsi pengalaman mereka untuk meningkatkan prestasi sekolah yang mereka tempati.

Perkara yang sama, tambahnya, juga akan dilakukan untuk guru.

“Ini akan mewujudkan keadaan yang rancak di semua sekolah di seluruh negara.

“Insya-Allah pada masa akan datang, tiada lagi ibu bapa yang memotong lima atau enam sekolah semata-mata untuk menghantar anak mereka ke sekolah tertentu,” katanya.

Beliau berkata langkah sebegitu penting bagi memastikan perancangan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada penambahan bangunan kepada sekolah yang sesak, sebaliknya memindahkan pelajar ke sekolah yang mempunyai populasi pelajar yang lebih rendah.

Previous Post Next Post