Susu RMT bekal nutrisi, tingkat prestasi murid

Pembekalan susu kepada murid sekolah rendah khususnya miskin tegar dan B40 me lalui Program Susu Sekolah (PSS) dilihat mampu meningkatkan pengambilan nutrisi ke arah melahirkan generasi cemerlang dalam pelajaran.

Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, PSS yang dilaksanakan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memfokuskan murid daripada keluarga miskin tegar, pemegang kad OKU dan orang asli dilihat membantu meningkatkan pertumbuhan mental dan fizikal murid golongan berkenaan.

"Program ini sangat baik dan difahamkan lebih 800,000 kanak-kanak mendapat manfaat," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia peringkat kebangsaan di sini pada Selasa.

Majlis telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Jelas Azmi, pembekalan susu berupaya melengkapkan kandungan nutrisi yang diperlukan kanak-kanak yang mana susu merupakan sumber terbaik dalam meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan di samping membantu pertumbuhan fizikal dan mental secara seimbang.

"Selain itu, Farm Fresh turut menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memfokuskan kepada aspek pendidikan, termasuk berkolaboratif dengan Yayasan Didik," ujarnya.

Pada majlis sama, beberapa anugerah pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan turut disampaikan yang menawarkan wang tunai dan hadiah sampingan tajaan Farm Fresh Berhad.

Setakat ini, Farm Fresh membekalkan susu kepada sembilan buah negeri melibatkan 390,000 murid dari 3,560 buah sekolah bermula April 2022 sehingga Mac 2023 di mana susu yang dibekalkan adalah UHT 200 milliliter (ml) tanpa perisa penuh krim dengan jenama Yarra.

Program CSR Farm Fresh bersempena PSS telah menjelajah ke 20 buah sekolah dengan memberikan pendidikan kebaikan minum susu, pemberian susu dan majalah Kuntum percuma selain penekanan amalan kitar semula oleh Tetra Pak.

Previous Post Next Post