Ibu bapa maut pulang konvoi, empat murid jadi yatim piatu

ANAk-anak arwah Azranawi dan Rosnah menyiram air di atas pusara ibu bapa mereka di Tanjung Rambutan, Perak semalam.

IPOH – Empat beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di Lenggong kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu itu, penunggang motosikal, Azranawi Radzi, 42, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.

Anak sulung pasangan itu, Muhaimin Anas, 16, berkata, dia mengetahui kejadian me­nimpa ibu bapanya pada pukul 8 malam melalui rakan sekolah yang melihat berita mengenai nahas tersebut di laman Facebook.

Katanya, pada mulanya dia tidak percaya dan menganggap perkara itu sebagai gurauan sebelum dihubungi oleh seorang sepupu yang turut menunjukkan gambar dan video kejadian.

“Saya tidak tahu nak cakap apa, memang terkejut. Ketika mendapat tahu berita itu, saya dan adik-adik ada di rumah di Taman Kledang Jaya, Silibin. Apabila lihat video, memang itu motosikal babah (panggilan bapa).

“Saya beritahu adik (Muhammad Darwisy Imran). Kami berdua tidak tahu nak buat apa-apa kerana betul-betul terkejut,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan di sini semalam.

Muhaimin memberitahu, dua adiknya iaitu Maher Uzair, 9, dan Miftahul Nurjannah, 7, hanya mengetahui kejadian tersebut pagi semalam selepas dimaklumkan nenek mereka.

Jelasnya, dua adik kesaya­ngannya itu pada mulanya seakan-akan tidak memahami apa yang terjadi, namun mula menangis selepas melihat gambar jenazah ibu bapa mereka.

“Buat masa sekarang, saya tidak tahu akan tinggal di mana, belum dapat fikir lagi. Mungkin sementara waktu kami akan tinggal dengan nenek. Yang (perkara) lain fikir kemudian,” katanya.

Muhaimin berkata, kali terak­hir dia berhubung dengan ibunya sekitar pukul 5.15 petang kelmarin di mana wanita itu bertanyakan keadaan mereka adik-beradik.

“Umi dan babah ke Thailand kelmarin (Ahad) berkonvoi de­ngan rakan-rakan. Itu kali terakhir mesej saya dengan ibu. Tidak sangka mereka kemalangan di Perak,” katanya.

Previous Post Next Post