Ketidakharmonian sistem pendidikan perlu penyelesaian menyeluruh - Pensyarah

Imej hiasan

Pasca pandernik, negara berhadapan dengan pelbagai cabaran getir untuk memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Tidak terkecuali pemulihan sektor pendidikan negara.

Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2020 mengesahkan berlaku keciciran pembelajaran besar di seluruh dunia akibat pandemik.

Bagi negara menutup sekolah paling lama ketika pandemik berhadapan dengan kadar keciciran pembelajaran jauh lebih tinggi OECD pada Februari 2021 mencadangkan supaya negara terjejas teruk akibat pandemik dan menutup sekolah terlalu lama supaya segera melakukan pemulihan pendidikan apabila masuk ke fasa endemik.

Tindakan pemulihan ini perlu bagi memastikan anak dapat diberikan intervensi pemulihan pendidikan dengan kadar segera bagi mengelak berlaku keciciran pembelajaran.

Beberapa negara khususnya di Eropah melakukan pemulihan segera dengan melakukan ujian pengesanan kemahiran membaca, menulis dan mengira pada anak-anak setiap enam bulan untuk memastikan tiada keciciran dalam kalangan anak-anak berada tiga tahun pertama persekolahan peringkat rendah.

Hasil pengesanan ini kemudian digunakan untuk melakukan program intervensi dengan segera pada anak-anak terjejas. Antara usaha intervensi dilakukan adalah menambah waktu pembelajaran selepas waktu persekolahan biasa, melantik pembantu guru khusus membimbing anak terjejas pembelajaran, menambahkan bahan bacaan dan menyediakan sokongan psikologi kepada anakanak dan ibu bapa.. Pastikan tiada murid tercicir Sebahagian negara di dunia khususnya di negara Scandinavia melakukan penjajaran semula silibus pendidikan sekolah rendah demi memastikan tiada murid keciciran. Mereka juga melaksanakan program memberi fokus untuk meningkatkan kembali motivasi pembelajaran anak-anak.

Walaupun sebahagian negara di dunia melakukan pelbagai usaha dan berjaya mengurangkan kadar keciciran pembelajaran, tidak dinafikan ada sebahagian negara kurang serius, malah gagal melakukan pemulihan pendidikan sehingga kadar keciciran pembelajaran meningkat.

Laporan OECD mengesahkan banyak negara Amerika Latin dan benua Afrika mencatatkan peningkatan keciciran pembelajaran ketara. Kajian oleh Asian Development Bank dalam kalangan negara Asia menunjukkan wujud kepelbagaian tahap pemulihan berlaku.

Negara seperti Singapura, Taiwan, Jepun, Korea Selatan didapati berjaya memulihkan sistem pendidikan mereka dengan kadar segera tetapi ada negara berhadapan pelbagai cabaran untuk melaksanakan proses pemulihan pendidikan secara berkesan.

Malaysia tidak terkecuali dan dilihat kurang berjaya dalam menguruskan pemulihan pendidikan. Walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah (PPR) dilakukan sepanjang pandemik, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengakui di Parlimen pada September 2021 tahap pencapaian PdPR tidak memuaskan dan berada pada tahap sederhana sahaja.

Begitu juga apabila Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan program KPM Perkasaku pada September 2021 sehingga Februari 2022 dalam usaha melakukan pemulihan pendidikan, usaha ini tidak dapat dibuktikan berkesan dalam meningkatkan tahap keciciran murid.

Akibat pandemik, sistem pendidikan negara bukan sahaja berhadapan isu keciciran pembelajaran murid tetapi menyebabkan berlaku 'burnout'atau kelesuan dalam kalangan guru.

Dilaporkan bilangan guru mengambil keputusan bersara awal meningkat berbanding sebelumn pandemik. Kadar persaraan awal ini menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana berlaku kekurangan guru ketara khususnya sekolah di kawasan bandar.

Lebih membimbangkan apabila Radzi berulang kali mengakui sistem pendidikan negara berada dalam keadaan statik, jumud atau 'stagnant' selepas pandemik pada saat sistem pendidikan negara lain sedang bergerak laju ke hadapan

Terkini, peristiwa sokongan padu dalam kalangan guru kepada Cikgu Fadli Salleh didakwa salah laku oleh KPM membuka satu lagi ruang terpendam' di dalam sistem pendidikan negara. 

Tanda tidak puas hati 

Istilah 'Little Napoleon' semakin kedengaran sebagai tanda tidak puas hati guru kepada pengurusan sistem pendidikan negara. Rasa ketidakpercayaan antara guru dan pihak pengurusan pendidikan semakin menebal dan terbuka.

Ini menimbulkan ketidakharmonian kepada sistem pendidikan negara. Jelas kepada pandangan rakyat, kepimpinan pendidikan semasa berada dalam keadaan sangat sukar dan tidak berupaya memulihkan sistem pendidikan negara.

Sekarang kerajaan dibubarkan. Kita menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti. Kerajaan baharu kemudian akan dibentuk. Jeinaah Menteri baharu juga akan dilantik termasuk menteri di KPM.

Tentunya cabaran getir untuk menteri baharu dilantik nanti untuk mengembalikan semula keharmonian warga pendidikan negara antara pihak pengurusan dan pelaksana pendidikan,

Pasti hal ini akan menjadi antara tugasan pertama Menteri Pendidikan akan dilantik nanti. Tentulah tidak mudah untuk beliau dan pasukan beliau membina kembali rasa saling percaya antara kedua pihak sedang 'bertelagah' ini.

Langkah seterusnya adalah cabaran untuk Menteri Pendidikan memulihkan dengan segera isu keciciran inurid dan kelesuan guru menerusi semakan serta penjajaran semula silibus, mengemas kini bilangan mata pelajaran, menambah baik amalan pentaksiran bilik darjah dan menyelesaikan isu bebanan tugas bukan pengajaran guru.

Jika ada keberanian dan kekuatan kepemimpinan, beliau boleh dengan segera mengekang budaya 'Little Napoleon' sedang hangat diperkatakan dalam kalangan guru sekarang.

Cabaran pendidikan untuk fasa endemik dan mengembalikan sistem pendidikan ke landasan diharapkan tentulah tidak mudah seperti dijangka akan tetapi kita tidak punyai pilihan lain.

Pada saat sistem pendidikan negara lain sedang maju bergerak ke hadapan dengan mengaturkan sistem pendidikan mereka dengan pelbagai inovasi, digitalisasi dan pembaharuan cara dan budaya haharn pendidikan, kita juga mesti segera bangun dan berlari seiring bersama mereka.

Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Previous Post Next Post