Inisiatif kemudahan lokar perlu diteruskan kepada semua sekolah - Kongres

PETALING JAYA: Tiada sekolah di negara ini harus diabaikan dalam tujuh inisiatif yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah beg berat.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, walaupun ketika ini sudah dapat dilihat banyak sekolah mula mendapat kemudahan lokar dan diharap semua sekolah akan mendapat kemudahan tersebut.

“600 lebih sekolah rendah yang mempunyai dua sesi sudah dibekal dengan lokar, diharapkan pelajar menggunakannya sebaik mungkin.

“Namun, terdapat beribu lagi sekolah di seluruh Malaysia yang belum menerima inisiatif tersebut tetapi dipercayai akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mac lalu, kementerian mengumumkan tujuh inisiatif akan dilaksanakan bagi mengurangkan masalah beg berat bagi pelajar-pelajar di seluruh Malaysia.

Inisiatif utama adalah penyediaan lokar dan penyusunan semula jadual waktu, di samping mengehadkan bilangan buku latihan, buku kerja dan buku aktiviti.

Penyediaan lokar akan dilaksanakan secara berperingkat di mana fasa satu untuk murid tahun satu hingga tiga bagi sekolah rendah yang beroperasi dua sesi.

Jasni berkata, dapat dilihat di kebanyakkan sekolah jadual sudah disusun semula dan bilangan buku yang perlu dibawa oleh pelajar dihadkan juga bagi mengatasi isu ini.

“Dengan ini, hampir semua isu mengenai beg sekolah sudah diselesaikan atau dalam proses, diharapkan KPM akan meneruskan inisiatif ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada KPM kerana mengambil inisiatif dan melaksanakannya dengan efektif," ujarnya.

Previous Post Next Post