Kaji semula program keselamatan sekolah - Pensyarah

Imej hiasan

Kemalangan membabitkan murid sekolah membuka mata masyarakat terhadap kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan di institusi pendidikan. Isu ini bukanlah baharu, sebaliknya banyak kes berlaku hingga menyebabkan kecederaan dan terdapat juga kes yang membawa maut.

Murid sebenarnya golongan muda mudah terdedah dengan risiko persekitaran mereka. Lingkungan umur kanak-kanak dan remaja, iaitu antara 8 hingga 17 tahun ialah peringkat umur masih mentah dalam menilai ancaman yang wujud. Maka, memupuk kesedaran dan pengetahuan berterusan amat perlu untuk membentuk perilaku selamat serta sihat dalam kalangan murid.

Pembabitan aktif pihak sekolah dalam program keselamatan dan kesihatan pekerjaan diperlukan bagi membantu meningkatkan kesedaran murid.

Lebih penting, peranan pengurusan sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif. 


Bilik darjah, makmal, bengkel kemahiran dan padang sukan ialah persekitaran pengajaran dan pembelajaran utama murid, maka ia perlu selamat serta bebas risiko bagi menjamin kesejahteraan murid.

Memperkenalkan program keselamatan dan kesihatan di sekolah mampu merealisasikan budaya selamat bukan sahaja membabitkan murid, bahkan guru dan kakitangan sekolah. Program seumpama ini penting dalam usaha Kementerian Pelajaran (KPM) khususnya dalam menangani isu kerap kali berulang.

Perancangan rapi program keselamatan dan kesihatan di sekolah bermula pembentukan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan (JKK) sekolah. Membentuk JKK sekolah sejajar dengan keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) kerana berperanan sebagai organisasi menggerakkan program bersangkut dengan keselamatan dan kesihatan. Ia membabitkan wakil guru dan wakil kakitangan pentadbiran.

Kaji semula program keselamatan 

Kekerapan mesyuarat JKK sekolah tiga bulan sekali (berdasarkan keperluan AKKP 1994) membolehkan isu keselamatan dan kesihatan bagi kepentingan bersama dibincangkan. Ia berperanan sebagai badan melaksana proses penaksiran dan kawalan risiko (ditemui dari semasa ke semasa). Dengan cara ini, risiko wujud boleh dikekang atau dihapuskan, sekali gus menepati konsep cegah sebelum kena, hapus sebelum bertambah mudarat.

Risiko wujud boleh dikekang atau dihapuskan, sekali gus menepati konsep cegah sebelum kena, hapus sebelum bertambah mudarat

JKK sekolah perlu mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan sebelum ini, sekali gus mengesyorkan penambahbaikan berterusan. Melaluinya, sebarang syor dan saranan berkaitan keselamatan dan kesihatan disampaikan kepada pengurusan tertinggi supaya isu dibangkitkan mendapat perhatian dan diambil tindakan.

JKK sekolah juga berperanan menyiasat kes kemalangan dalam kalangan murid, guru dan kakitangan bagi mengenal pasti punca serta mencegahnya berulang.

Ia juga berperanan dalam melaksanakan pemeriksaan dan audit berkala keselamatan dan kesihatan di premis. Antara perlu diberi perhatian langsung adalah prosedur kerja standard makmal dan pengendalian alatan sukan, pemeriksaan fasiliti kegunaan murid di kelas serta fasiliti kantin dan tandas.

Menyokong peranan JKK sekolah, setiap ahli JKK perlu menjalani kursus berkaitan bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran contohnya penaksiran risiko dianjurkan institusi seperti institusi pengajian tinggi (IPT) serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Pendek kata, JKK sekolah bukanlah organisasi hanya bermesyuarat dan melontarkan dasar keselamatan dan kesihatan sekolah, tetapi lebih kepada badan penggerak bagi memacu budaya keselamatan serta kesihatan untuk kesejahteraan warga sekolah.

Dr Mohd Zubairy Shamsudin
Pensyarah Faktor Manusia dan Ergonomik
Universiti Selangor

Artikel asal Berita Harian

Previous Post Next Post