Pelajar dikecam jual Peranti Siswa, mahu tukar iPad

Samsung Tab A8 diperolehi seorang pelajar melalui Peranti Siswa serta dijual menerusi laman jualan dalam talian.


PETALING JAYA – Seorang pelajar dikecam susulan tergamak menjual gajet Samsung Tab A8 yang diperolehi menerusi Peranti Siswa, hanya kerana mahu menukar kepada iPad. 

Menerusi tangkap layar dikongsikan pengguna laman sosial pada Facebook B40 Buat Perangai Apa Hari Ini, pelajar tersebut didakwa menjual gajet itu menerusi sebuah laman jualan dalam talian. 

“Dapat daripada Peranti Siswa, tak guna pun. Alasan jual, sebab nak tukar kepada iPad untuk kegunaan pelajar. Perlukan banyak penulisan dan buat nota,” katanya. 

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kecaman orang ramai memandangkan Samsung Tab A8 itu diperolehi daripada Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 

“Tiada integriti. Tab itu guna duit cukai yg rakyat Malaysia bayar. Sila pulangkan semula tab tersebut supaya kerajaan boleh berikan kembali kepada pelajar yang memerlukan. 

“Orang begini harus disenarai hitam kerana menyeleweng bantuan yang disalurkan,” kata seorang pengguna Facebook. 

“Generasi dahulu dapat subsidi baja, jual harga pasaran dan untung 100 peratus. Generasi moden dapat tab percuma, jual harga pasaran. 

“Tak pernah berubah. Sebab itu filem P. Ramlee kekal relevan, selagi tak berubah, selagi itulah relevan,” ujar seorang lagi pengguna Facebook. 

Sementara itu, carian pada laman jualan tersebut tidak menemui peranti yang dijual pelajar tersebut. 

Media melaporkan, kira-kira 400,000 mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang layak dalam insentif Peranti Siswa akan menerima peranti berjenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dipetik berkata, jenama dan model itu yang ditawarkan oleh syarikat Samsung boleh menyokong pengguna kad sim rangkaian 4G dan LTE. – KOSMO! ONLINE
Previous Post Next Post