Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10


KUALA LUMPUR, 24 Nov - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

la selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, kata beliau.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada jam 5 petang di Istana Negara hari ini. 

Ahmad Fadil berkata pada sesi perbincangan khas yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah bermula 11 pagi itu, Seri Paduka berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov lepas.

Antara yang berangkat pada perbincangan khas itu ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

"Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua," katanya.

Menggunakan peribahasa Melayu "bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut", Seri Paduka turut menasihatkan agar semua ahli-ahli Dewan Rakyat merapatkan semula saf demi masa depan negara tercinta.

- BERNAMA
Previous Post Next Post