Bapa dakwa anak dipaksa melutut dalam perhimpunan kerana kasut sekolah

Imej hiasan

BUTTERWORTH: Bapa kepada pelajar yang mendakwa didenda melutut dalam perhimpunan kerana berkasut tanpa tali berkata, anaknya mengalami trauma akibat hukuman “tidak masuk akal”.

Lelaki berusia 38 tahun itu yang dikenali sebagai Mogan berkata, anak perempuannya yang berusia 13 tahun tidak pernah melalui perkara sedemikian.

“Dia balik menangis dan menghantar rakaman suara lima minit kepada isteri saya memaklumkan dia tidak mahu kembali ke sekolah,” katanya sambil menambah anaknya tertekan selepas dimalukan di depan semua orang di sekolah.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini yang turut dihadiri Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Justeru, Mogan menggesa Kementerian Pendidikan menggantung guru terbabit.

“Saya tidak mahu ini berlaku kepada pelajar lain. Ini tidak patut berlaku di sekolah Malaysia, di mana semua kaum bergaul dan belajar.”

Saksi tak nampak mangsa didenda

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Radzi Ahmad dipetik Bernama berkata, berdasarkan keterangan awal saksi, mereka mendakwa tidak nampak pelajar Tingkatan 1 itu didenda melutut dalam perhimpunan.

Katanya, saksi juga nampak tali merah pada tangan dan tanda di dahi pelajar itu masih ada pada mangsa sehingga tamat waktu persekolahan.

Beliau berkata, remaja berusia 13 tahun itu membuat laporan polis pada 10.43 malam dengan mendakwa didenda sedemikian kerana memakai kasut jenis berpelekat.

“Pelajar itu juga mendakwa semasa dalam perjalanan ke kelas, guru wanita tersebut turut memotong tali suci di tangannya dan menyuruhnya membuang titik hitam (pottu) serta memadam tanda putih (vibuthi) di dahinya.

“Remaja tersebut menceritakan perkara itu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis.”

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pelajar itu baru ditukarkan ke sekolah terbabit bulan lalu dan keterangan beberapa pelajar serta guru berbangsa Melayu dan India di sekolah itu sudah dirakamkan setakat ini.

Beliau juga mengesahkan menerima satu lagi laporan polis dibuat guru wanita bagi menafikan semua dakwaan itu.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.”

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi membabitkan kes penghinaan terhadap agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum.

Katanya, polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit.

Sumber: Free Malaysia Today

Previous Post Next Post