[Foto] Bas bawa pelajar UPSI terjun gaung di Kota Malim Prima

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan pemandu bas tersepit dalam nahas di Jalan Slim Lama dekat Kota Malim Prima, Tanjung Malim hari ini. -FOTO/JBPM PERAK

TANJUNG MALIM – Sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabas ke cerun bukit di Jalan Slim Lama dekat Kota Malim Prima di sini petang tadi.

Kejadian sekitar pukul 7 petang itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan menghantar pelajar pulang ke asrama, namun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Difahamkan, seramai 11 pelajar cedera, manakala pemandu bas yang tersepit telah berjaya dikeluarkan pasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, maklumat awal diterima pada pukul 7.03 petang yang memberitahu terdapat sebuah bas terbabas sendiri.

“Siasatan awal mendapati terdapat kira-kira 60 penumpang terdiri daripada pelajar UPSI yang mana 11 penumpang dan pemandu cedera ringan.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. 






Previous Post Next Post