Murid perempuan tingkatan 3 maut jatuh bangunan sekolah

Imej hiasan

Alor Setar: Murid perempuan tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Simpang Empat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.30 pagi.

Menurutnya, Ketua Balai Polis Simpang Empat yang menerima maklumat berhubung murid perempuan sekolah terbabit dipercayai terjatuh bangunan sekolah itu melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati tempat kejadian mempunyai bangunan empat tingkat yang mana bahagian bawah adalah perpustakaan, manakala tingkat dua dan empat pula kosong dan tingkat tiga adalah kelas bagi pelajar tingkatan enam.

"Namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca bagaimana kejadian itu berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, saksi memaklumkan keseluruhan bangunan itu kosong kerana semua murid sekolah berkenaan menghadiri perhimpunan sebelum memasuki kelas masing-masing.

Beliau berkata, mayat murid berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Previous Post Next Post